Ketika peminat bola sepak di seluruh dunia meratapi kematian Diego Maradona, segelintir pengguna media sosial pula nampaknya terkeliru.
Mereka gagal membezakan di antara bekas kapten pasukan bola sepak Argentina itu dengan bintang pop dari AS, Madonna.
Keadaan itu menjadikan nama Madonna antara sohor kini di Twitter pagi tadi selepas ada antara peminat penyanyi Don't Cry For Me Argentina itu meluahkan kesedihan mereka.
Kegagalan sesetengah orang membezakan Maradona dengan Madonna juga menjadikan nama penyanyi terbabit 'panas' dalam enjin carian Google dan hampir menyamai minat orang ramai kepada si pemain bola sepak bertaraf legenda itu.
Namun tidak kurang juga segelintir pengguna Internet yang lain mengambil kesempatan itu dengan menjadikan imej Madonna sebagai meme apabila memadankan wajah Madonna dengan bahagian bawah pula badan Maradona.
Maradona, 60, meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di kediamannya di Buenos Aires malam tadi (waktu Malaysia).
Jurucakapnya, Sebastian Sanchi, mengesahkan dua minggu sebelum itu atlet yang lincah pada zaman kegemilangannya itu menjalani pembedahan darah beku di otak.
Maradonna juga dirawat kerana masalah alkohol.
Kerajaan Argentina pada hari ini mengumumkan negara itu berkabung tiga hari atas kematian Maradona.

Sementara itu, seorang lagi legenda bola sepak dunia, Pele, menciap: “Ini khabar menyedihkan. Saya kehilangan sahabat baik dan dunia kehilangan seorang legenda.
"Banyak yang ingin saya katakan, tapi untuk waktu ini, semoga Tuhan memberi kekuatakan buat keluarganya.
"Saya berharap dapat bermain bola di atas sana dengan kamu."
Christiano Ronaldo pula mengibaratkan Maradona sebagai seorang pakar silap mata yang tiada tandingannya.
“Hari ini saya ucapkan selamat jalan kepada seorang sabahat dan dunia ucapkan selamat jalan kepada genius abadi. Dia antara yang terbaik.
“Seorang ahli silap mata tiada tandingan. Dia pergi meninggalkan kita terlalu awal, tapi tetap meninggalkan legasi tanpa had dan kekosongan yang tidak akan dapat diganti. Kamu tidak akan dilupakan,” ciapnya.
