Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
SPRM serbu pejabat badan pengurusan royalti artis
Diterbitkan:  Nov 26, 2020 2:04 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu empat pejabat badan pengurusan royalti artis semalam bagi memulakan siasatan berhubung isu dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu.

Antara pejabat yang diserbu adalah Recording Performers Malaysia (RPM), Public Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).

TV3 memetik sumber yang mengatakan bahawa SPRM memulakan siasatan berhubung maklumat yang dirujuk oleh Presiden Karyawan mengenai isu penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima daripada pengusaha-pengusaha industri di Malaysia bagi tujuan persembahan umum.

Siasatan itu dibuat berdasarkan royalti-royalti yang dikutip tetapi tidak disalurkan kepada artis dan pencipta lagu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan berhubung isu tersebut.

Setakat ini, SPRM sedang mengambil dokumen-dokumen yang terlibat untuk kajian dan penelitian.

Beberapa individu yang terlibat akan dipanggil untuk membantu siasatan kes ini.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Khusairi, masih terlalu awal untuk memberi sebarang komen berhubung siasatan ini.

“Untuk berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat, semua pihak diminta untuk tidak mensensasikan isu ini dan memberikan masa yang secukupnya kepada SPRM bagi dijalankan siasatan secara telus, adil dan profesional,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Lihat Komen
ADS