Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Didoakan mati, Wani Comel ancam nak saman
Diterbitkan:  Dec 9, 2020 2:32 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Gadis mempunyai masalah obesiti, Wani Comel mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang selepas mendakwa dirinya dibuli dengan pelbagai kata-kata kesat selain didoakan mati oleh netizen.

Kata Wani atau nama sebenarnya Nurul Airawani Nazira, dia akan memfailkan laporan polis selain mengadu perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Selepas banyak ruang diberikan, terlalu banyak pihak tak henti-henti mengacau hidup Wani dengan pelbagai kata-kata kesat dan tak kurang juga ada yang mendoakan Wani mati.

“Selepas pengumuman dibuat peguam Wani, di sini sekali lagi Wani ingin menasihatkan agar mana-mana individu yang tag Wani dengan cubaan gangguan, fitnah, cacian, makian, hinaa dan apa-apa perkara negatif termasuk body shaming, Wani akan buat laporan polis dan SKMM.

“Hal itu biarpun tempoh 24 jam tersebut belum tamat kerana Wani berhak berbuat demikian demi diri Wani,” katanya di media sosial hari ini.

Semalam, Wani mengulang naik (repost) hantaran daripada pihak peguamnya yang memberi tempoh 24 jam untuk warganet memadam segala terbitan dipercayai boleh menganggu perjalanan kes anak guam mereka.

Sekiranya tuntutan itu gagal dipenuhi, Haziq Aizuddin Subhi melalui Haziq A Subhi & Co akan melaporkan nama-nama individu terbabit kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk SKMM.

Terdahulu, isu Wani - yang mempunyai masalah berat badan kira-kira 300 kilogram - mengundang perhatian warganet selepas usahawan kosmetik dan selebriti Aliff Syukri membiayai kos pembedahan bariatriknya pada 19 Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, setahun selepas itu, Wani, 23, tampil membuat tuntutan dan mendakwa Aliff memperdayakan dirinya tanpa menunaikan janji seperti memberi kereta, rumah dan elaun bulanan berjumlah RM3,000 selepas dia menandatangani kontrak sebagai duta produk pelangsingan.

Aliff pula dalam satu sidang media diadakan 7 Dis lalu menafikan dakwaan terbabit selain berkata ia bergantung kepada ihsan dirinya dan sekiranya dia didapati bersalah perkara tersebut boleh dilanjutkan ke mahkamah.

Dalam pada itu, Wani juga memberitahu pihaknya telah mengumpulkan semua bukti-bukti seperti komen yang menghina dan mengecam dirinya untuk tindakan undang-undang.

“Pihak SKMM berhak dan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap anda sekiranya laporan tersebut selaras dengan mana-mana kesalahan dibawah akta, akaun Instagram anda boleh dipadam serta merta dan anda akan didakwa oleh pihak SKMM.

“Sila berfikir dahulu sebelum menulis apa-apa komen atau pun DM wani. Mereka yang membantu Wani telah mengumpulkan semua bukti komen anda yang menghina Wani, mengecam Wani, menghasut masyarakat untuk provokasi menimbulkan perbalahan hal Wani di media sosial di Instagram dan DM wani.

“Pihak Wani akan ambil tindakan saman dan terus ke SKMM. Akhir kata, terima kasih kepada mereka yang tak putus-putus bantu dan mendoakan Wani,” katanya.

Lihat Komen
ADS