Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengarah Mael Totey The Movie bakal diangkat ikon pengarah muda

Kejayaan filem Mael Totey The Movie arahan pertama Muhammad Syahmi mengutip lebih RM7 juta bakal mengangkat nama pengarah muda itu sebagai Ikon Pengarah Muda.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid berkata pengumuman secara rasmi akan dibuat pada satu majlis apresiasi bagi menghargai mereka yang berjaya dalam bidang perfileman negara awal tahun depan.

"Pengarah muda ini akan diangkat namanya sebagai ikon selepas berjaya menghasilkan filem dengan kutipan yang tinggi dan ini satu pengiktirafan kepada anak-anak muda.

"Dia (Muhammmad Syahmi) bukan sahaja berjaya dalam usahanya tetapi juga telah mengangkat golongan orang kurang upaya (OKU) dalam filemnya," kata Zakaria ketika melawat pejabat produksi pengarah itu semalam.

Zakaria berkata pengarah muda itu telah membuktikan kejayaannya tanpa meminta bantuan pihak lain termasuk Finas.

Menurutnya pengarah muda yang lain perlu menghasilkan karya yang dikehendaki golongan muda yang tidak lagi tertumpu kepada kisah yang stereotaip sebaliknya bagaimana dapat membina bangsa dan negara melalui filem.

"Kita tidak mahu berterusan kisah cinta seperti orang kaya berkahwin dengan orang miskin tetapi mesti mempunyai idea bagaimana dapat memberi semangat kepada golongan muda dalam membina negara," katanya.

Sementara itu Muhammad Syahmi, 25, berkata dia merancang untuk menghasilkan satu filem baru hujung tahun depan dengan penggambaran dijangka bermula pada Mac nanti.

"Kejayaan Mael Totey akan menjadi perangsang kepada saya untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan akan menggunakan pelakon yang sama untuk filem berlatarbelakangkan kehidupan rakyat Kelantan," katanya.

Dia seterusnya menafikan dakwaan sesetengah pihak filem tersebut mengeksploitasi golongan OKU, sebaliknya berkata apa yang dilakukannya adalah untuk mengangkat kebolehan golongan terbabit.

- Bernama

Lihat Komen
ADS