Lan Solo minta bantuan kesan penyamun
Kedai runcit Solo Borneo Mart milik pasangan penyanyi Lan Solo dan isterinya Shiela berhampiran Puchong disamun seorang lelaki semalam.
Lan yang mendedahkan perkara tersebut melalui Instagram miliknya berkata, dalang itu percayai dilakukan seorang lelaki.
“Kedai kami dirompak. Lelaki itu memaksa pekerja kedai saya serahkan duit hasil perniagaan,” katanya.
Perkara tersebut berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam kedai Solo Borneo Mart.
Walaupun kelibat penyamun terbabit berjaya dirakam, namun wajahnya tidak dapat dilihat kerana dia memakai pelitup muka.
Lan yang nama penuh adalah Mohd Razlan Mohamed Yusof turut meminta pihak-pihak yang boleh mengecam individu tersebut mahupun kenderaan yang digunakannya tampil bagi membantu siasatan.
“Jika terjumpa lelaki ini tolong dapatkan maklumat diri dan kenderaan digunakan,” katanya.
Sementara itu, memetik Harian Metro, Lan dilaporkan mengalami kerugian lebih RM500 selepas disamun lelaki berkenaan.
Shiela atau nama sebenarnya Nur Sheila Hashim berkata, lelaki terbabit muncul secara tiba-tiba dan meminta wang RM500 sebelum menyuruh pekerja mereka menyerahkan semua wang dalam mesin juruwang di kaunter bayaran.
“Ketika kejadian, saya dan Lan berada di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk menjayakan raptai sebuah program hiburan. Ketika itu, pekerja kami menghubungi kami bertalu-talu tetapi saya abaikan kerana nak fokus kepada acara itu.
“Sebaik selesai, saya terus hubungi mereka semula dan dimaklumkan mengenai kejadian itu. Kami terus periksa CCTV untuk melihat rakaman kejadian itu.
“Memang dia buat kerja sangat pantas dan tak sampai tiga minit pun. Dia datang mengugut pekerja kami kononnya meminta bayaran untuk barang yang kami pesan sedangkan kami tidak pesan apa-apa pun,” katanya.

