Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Finas nafi boleh lakukan penggambaran di kawasan PKP

Diterbitkan

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menafikan kenyataan Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) berkenaan kebenaran aktiviti penggambaran di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, Finas sudah merujuk pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan keabsahan berhubung kenyataan tersebut.

“Finas memandang serius akan penularan video dan artikel yang berkaitan.

“Dimaklumkan bahawa tiada perbincangan antara pihak MKN dengan FDAM sepertimana yang dinyatakan dalam video dan artikel tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam video diedarkan kepada Malaysiakini malam tadi, Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim atau dikenali Mat London (gambar, bawah) antaranya berkata, produksi tidak dibenarkan menjalankan penggambaran di kawasan yang diletakkan di bawah PKP tetapi aktiviti itu dibolehkan sekiranya ia dilakukan di kawasan seperti studio, rumah atau mana-mana tempat tertutup.

Bagaimanapun katanya, sekiranya produksi ingin menjalankan penggambaran di luar sempadan atau daerah bukan dikuatkuasakan PKP, mereka memerlukan pengesahan atau surat kebenaran daripada pihak polis.

Selain itu katanya, bagi memastikan keselamatan dan mengekang wabak Covid-19, orang luar juga tidak dibenarkan datang ke lokasi penggambaran berkenaan.

Justeru, Finas menegaskan sekali lagi bahawa semua aktiviti penggambaran adalah tidak dibenarkan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP manakala di kawasan yang dikuatkuasakan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan pula aktiviti penggambaran boleh diteruskan seperti biasa dengan syarat perlu mematuhi semua garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan pihak MKN buat masa ini.

Pada masa sama, Ahmad Idham berkata, Finas sedang dalam perbincangan bersama pihak MKN untuk memohon kelonggaran SOP penggambaran bagi sektor industri kreatif dalam usaha memastikan ekonomi industri kreatif tidak terjejas.

Finas juga mengingatkan kepada semua pihak agar tidak bertindak secara serkap jarang dalam membuat sebarang kenyataan serta tidak memutarbelitkan fakta yang boleh mengelirukan penggiat industri kreatif.

“Finas akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa melalui medium hebahan media dan laman sesawang Finas serta media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter.

“Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh berhubung terus dengan Unit Komunikasi Korporat Finas,” katanya.

Sementara itu, Mat London ketika dihubungi Malaysiakini melalui aplikasi WhatsApp mendakwa makluman yang diterimanya itu diperolehi daripada kumpulan telegram MKN.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.