Demi lindungi diri dan masyarakat Krisdayanti kerap jalani ujian Covid-19
Demi memastikan keselamatan diri sendiri dan orang ramai, Krisdayanti - yang kini bergelar ahli parlimen - menjadikan ujian saringan Covid-19 sebagai rutin dalam hidupnya.
Dia yang menjadi ahli parlimen bagi kawasan Jawa Timur V berkata, bukan sekali dia menjalani ujian saringan tersebut. Malah katanya dia bersama ahli parlimen lain akan melakukan ujian tersebut sebelum memasuki mesyuarat.
“Ia untuk menjaga kesihatan dan melindungi diri, keluarga dan lingkungan kerja di mana pun kita berada. Salam sihat tetap optimis untuk semua,” kata penyanyi Menghitung Hari itu.
Untuk rekod Krisdayanti merupakan seorang daripada sekumpulan selebriti Indonesia yang memasuki politik secara langsung dan bertanding dalam pilihan raya umum pada 2019.
Dia yang menjadi anggota Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan akan menjadi ahli parlimen sehingga pilihan raya umum akan datang iaitu pada 2024.
Selain Krisdayanti, seorang lagi selebriti terkenal yang menjadi wakil rakyat ialah Mula Jameela.
Untuk menunjukkan prosedur ujian itu Krisdayanti, 45, turut mengiringi kenyataan berkenaan dengan sebuah klip video pendek yang memaparkannya dia seolah-oleh menahan sakit sewaktu melakukan ujian calitan tersebut.
Bahkan, bekas isteri Anang Hermansyah sampai memegang hidungnya apabila ia dimasuki alat ujian calitan.
Hal itu menyebabkan kakaknya, Yuni Shara turut menyapa di ruangan komen.
“Lamanya jolok, mesti sakit,” tulisnya.

