Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bukan mudah membidani Delen, kata Janna Nick
Diterbitkan:  Feb 11, 2021 8:31 PM
Dikemaskini: 12:31 PM

Genap 10 tahun pembabitan dalam bidang seni, pelakon popular, Janna Nick membuka lembaran baru 2021 dengan melebarkan sayapnya. Dia kini menceburkan diri dalam bidang pengarahan dan penerbitan pula.

Langkah berani Janna dimulakan dengan menerbit dan mengarah telefilem berjudul Delen yang bakal ditayangkan jam 9 malam pada 13 Feb ini melalui saluran Astro Citra.

Memilih genre komedi romantik untuk ‘bayi’ sulungnya, Janna berkata, telefilem itu berkisahkan percintaan remaja sekolah.

“Saya pilih genre dan jalan cerita ni kerana berasakan ia lebih mudah untuk mengarah. Tapi, rupa-rupana tidak, terutama apabila ketika proses suntingan.

"Kalau dengar komedi romantik memang ringan, tapi nak hasilkan karya sebegini agak sukar juga.

“Namun, apabila sudah terbabit dalam bidang pengarahan dan penerbitan, ia memang memberi pengalaman baru.

"Saya mula melihat skop pekerjaan dunia hiburan dengan lebih serius dan melalui perspekif lebih besar," katanya.

Sebelum ini kata Janna tanggungjawabnya sebagai pelakon saja namun selepas menjadi pengarah dan penerbit, dia perlu melalui pelbagai pengalaman berbeza.

Nak serius, bukan main-main

"Pada masa sama, saya melihat ia memberi kesan dari segi kerjaya lakonan kerana saya perlu lebih peka terhadap kerja pengarah dan penerbit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Telefilem terbitan syarikat miliknya Janna Nick Studios itu menampilkan barisan pelakon seperti Sean Lee, Sherry Al Hadad, Mark Adam, Joey, Dini Schatzmann, Norreen Iman.

Berkongsi tanggungjawab barunya itu, Janna, 26, atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner berkata, penghasilan teleflem Delen bukan sekadar percubaan sebaliknya dia memang serius untuk terus menghasilkan lebih banyak karya selepas ini.

“Alhamdulillah, tahun ni genap 10 tahun dalam industri. Dari segi nak mengarah, diakui saya memang tiada kelulusan tu, tapi saya ada dari segi pengalaman.

“Sejak awal masuk bidang seni saya memang pasang niat dan bercita-cita mahu menjadi pengarah. Malah, saya masuk industri pun mahu serius dalam bidang ni.

“Saya bukan nak kejar populariti dan glamor saja. Jadi, tak salah untuk saya mencuba dan meneroka bidang baru pula. Apabila saya menerbit dan mengarah telefilem ini, ia bukan satu percubaan dan saya takkan berhenti,” katanya.

Janna yang kini muncul menerusi drama Marry Me Senorita di saluran Astro Ria berkata, selepas mengarahkan dan menerbitkan Delen, dia bakal muncul dengan sebuah lagi telefilem berjudul Jeti.

Jeti dah siap menjalani penggambaran pun. Kali ini saya membawakan genre berat dan penuh emosi lakonan hebat Nabila Huda dan Fauziah Nawi.

“Tapi, untuk cerita ni saya memberi fokus kepada pengarahan dan penerbitan saja. Ternyata, untuk genre ni, ia lebih mudah berbanding komedi romantik,” katanya.

Lihat Komen
ADS