Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Janna Nick undang kemarahan peminat K-pop gara-gara 'Blackpig'
Diterbitkan:  Feb 22, 2021 2:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Nama Janna Nick kembali menuai perhatian hingga sohor kini di Twitter dengan tanda pagar #JannaNickGoingToJailParty dipercayai gara-gara didakwa mengaitkan nama anggota K-pop terkenal, Blackpink Lisa atau Lalisa Manoban sebagai Blackpig.

Gerakan mengutuk Janna dengan tanda pagar berkenaan dibuat selepas aktres itu mengundang kemarahan peminat artis K-pop.

Menurut akaun Twitter Blackpink Malaysia iaitu @myofficialblink, adalah tidak masuk akal untuk seseorang yang waras bertindak demikian dan menjangkakan ia tidak akan dikecam oleh peminat K-pop.

“Rasa hormat adalah sesuatu yang perlu didapatkan dan jelas di sini Janna Nick tidak layak menerimanya.

“Bagi kami, pig (babi) adalah satu istilah harfiah yang digunakan untuk merendah-rendahkan atau menghina seseorang,” ciap akaun tersebut.

Janna sebelum ini memuat naik nama-nama watak dalam Delen. Antaranya dia mengetengahkan karakter memiliki sifat gedik dilakonkan Annie Mosha.

Dia didakwa mengiringi hantaran itu dengan berkongsi imej dari akaun Instagram Jannanickstudios yang memaparkan perkataan: Lisa Blackpig.

“Lisa Blackpig. Dalam setiap sekolah mesti ada girls group (kumpulan budak-budak perempuan) yang gedik nak mati. Ini wakil dia, @annie_mosha,” menurut kenyataan itu.

Tidak berakhir di situ, pada ruang komen Instagram, Janna sekali lagi memberi gambaran lebih jelas dengan menulis perkataan "oink, oink" sebagai membalas respons pelakon Nazim Othman.

Istilah "oink, oink" biasanya memberi gambaran bunyi babi.

Tak tahu maksud sebenar

Janna kemudian berkata, dia sudah membuat laporan polis berhubung apa yang disifatkannya sebagai fitnah.

"Semoga dipermudahkan urusan bagi mengenal pasti akaun yang mencetuskan provokasi dan membuat fitnah terhadap saya.

"Segala tangkap layar dah diambil oleh pihak berkuasa dan tindakan undang-undang atas jenayah siber akan dilakukan kepada yang terlibat," katanya di media sosial.

Susulan itu, akaun Instagram Janna Nik - yang memiliki seramai 6.2 juta pengikut - dan Twitter miliknya tiba-tiba 'ghaib'.

Tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua akaun tersebut tidak boleh diakses kerana dinyah aktif oleh Janna atau digantung kesan laporan dibuat peminat K-pop.

Ini bukan kali pertama Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 25, mencetuskan kontroversi melalui platform media sosial.

Dia sebelum ini pernah meminta maaf selepas didakwa mempersenda kematian ahli kumpulan SHINee iaitu Kim Jong-hyun bersama seorang lagi pelakon, Sharifah Sakinah.

Jong-hyun meninggal dunia pada 2017 dipercayai bunuh diri akibat tekanan perasaan.

Dan Janna menyebut lafaz itu sambil memegang al-Quran bagi menjernihkan situasi terutama dalam kalangan peminat K-pop.

Bagaimanapun, Janna semasa memohon maaf berkata, dia sebenarnya tidak tahu maksud sebenar di sebalik gurauan Sharifah kerana pelakon itu gemar berjenaka.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Janna bagi mengulas lanjut perkara tersebut.

Lihat Komen
ADS