Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Janna aktif semula di IG

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Feb 2021, 3:01 pagi

Selepas hilang dari radar industri secara tiba-tiba semalam, hari ini akaun Instagram (IG) pelakon dan pengacara Janna Nick boleh diakses semula.

Tidak banyak yang dikongsikan Janna kecuali klip promo serta imej drama lakonannnya, iaitu Marry Me Senorita arahan Michael Ang yang dilakonkan bersama kekasihnya, Dini Azan Schatzman.

“Kamu tidak boleh mengawal orang lain. Apa saja kamu cakap atau lakukan akan ditapis menerusi kanta berkaitan dengan apa saja yang mereka lalui.

“Iaitu bukan mengenai kamu. Teruskan apa yang kamu lakukan sebanyak mungkin dengan integriti dan kasih sayang,” katanya dengan diiringi tanda pagar #marrymesenorita.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Nur Jannah Muner itu mengehadkan komen pengikut di laman sosialnya itu.

Semakan juga mendapati akaun Twitter milik Janna masih belum aktif.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan Janna menutup platform media sosialnya kerana enggan mengeruhkan keadaan susulan dia didakwa mempersenda kumpulan K-pop antara yang berpengaruh di dunia, Blackpink.

Dia mencetuskan kemarahan peminat artis K-pop selepas didakwa menghina Lalisa Manoban atau Lisa, salah seorang anggota Blackpink sebagai Lisa Blackpig.

Istilah itu yang didakwa dimuat naik melalui Instagram Jannanickstudios bertujuan mempromosikan telefilem sulung arahannya berjudul Delen. 

Portal ini semalam melaporkan, Janna, 25, bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang menabur fitnah, mengugut dan membuat serangan peribadi hingga boleh menjejaskan reputasinya sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Selepas membuat laporan polis, katanya, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sudah memulakan siasatan dan mengenal pasti siapa pihak di sebalik nama dan akaun samaran yang digunakan di media sosial.

Menurut Janna, pihaknya sedang dalam proses merekod apa saja fitnah yang ada kaitan dengan isu itu di semua media sosial selain timbulnya tanda pagar negatif terhadapnya #JANNANICKGOINGTOJAILPARTY.

“Berkenaan tohmahan yang kononnya saya menyamakan atau menggelar Lisa Manoban sebagai Lisa Blackpig, ia adalah terpesong sama sekali,” katanya.

Nama Janna turut mengundang perhatian umum selepas rakaman klip video pada 2018 yang didakwa mempersenda kematian ahli kumpulan SHINee iaitu Kim Jong-hyun bersama seorang lagi pelakon, Sharifah Sakinah tiba-tiba muncul kembali di dada media sosial.

Sama seperti sebelum ini, Janna tetap menafikan perbuatan itu tidak disengajakan selain mendakwa dia adalah salah seorang daripada peminat budaya Korea.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.