Bekas peserta program Pencetus Ummah (PU) iaitu PU Amin berharap dunia kembali sihat selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula hari ini.

Dia berharap semoga ibadat umat Islam dapat dipertingkat selepas kerajaan melakukan ikhtiar sebaik mungkin.

“Program vaksin bermula hari ini. Kita hanya ikhtiar sebaik mungkin. Para ulama dan pakar perubatan juga sepakat untuk menjayakan ia bersama.

“Semoga Allah melindungi kita semua. Semoga dunia kembali sihat. Semoga ibadat dapat dipertingkat,” katanya dalam Instagram.

Mengiringi hantaran itu, Amin atau nama penuhnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkongsi imej Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang menjadi penerima suntikan vaksin pertama hari ini.

Kata Amin, 30, seluruh umat Islam haruslah bertawakal selepas usaha dijalankan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

“Usaha dan doa telah kita lakukan. Kini bertawakal mengharap belas dan kashan dari Tuhan sekalian alam,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang menzahirkan rasa syukur dengan suntikan vaksin berkenaan menyatakan keyakinan bahawa ia selamat dan berkesan.

Justeru, dia merayu seluruh rakyat serta mereka yang tinggal di negara ini supaya tampil mendaftar melalui aplikasi MySejahtera supaya dapat ditentukan giliran penerimaan suntikan vaksin Covid-19.