Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) merayu kerajaan segera membenarkan aktiviti penggambaran di luar studio memandangkan sektor penerbitan filem dan televisyen terpaksa berdepan kerugian besar ketika ini.

Presidennya Pansha berkata produksi yang lama tertangguh mengakibatkan mereka terpaksa menanggung kos bulanan operasi atau kos penerbitan yang semakin meningkat.

“PFM merayu kepada kerajaan untuk membenarkan aktiviti penggambaran luar studio diberi kelulusan dengan kadar segera demi kelangsungan hidup semua syarikat penerbitan filem dan televisyen,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memberi kebenaran terhad untuk aktiviti penggambaran dalam studio sewaktu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 sedang berlangsung.

Syaratnya, prosedur operasi standard (SOP) baru mesti dipatuhi tanpa kompromi oleh mana-mana syarikat produksi seperti memohon kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran Filem (SPP) Khas sebelum melaksanakan aktiviti penggambaran, pemantauan berkala oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di lokasi penggambaran dan saringan ujian Covid-19 perlu ke atas semua tenaga produksi.

Menurut Pansha lagi lebih 50,000 penggiat seni dalam pelbagai bidang industri kreatif seperti freelancer iaitu pengarah, pelakon, pekerja belakang tabir turut sengsara untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Mereka tidak dapat bayaran oleh kerana kebanyakan penggambaran produksi tempatan yang membabitkan lokasi di luar studio tertangguh atau tidak dapat disempurnakan,” katanya.

PFM pada masa sama merayu agar pawagam dibenarkan kembali beroperasi dengan 50 peratus kapasiti tempat duduk bagi setiap dewan.

Katanya, ia merujuk kepada SOP yang telah diluluskan sebelum ini.

“Keseimbangan dalam mengatasi pendemik Covid-19 dan menjana aktiviti ekonomi sangat penting dalam kelangsungan untuk hidup.

“Sebagai persatuan yang mewakili dalam kalangan syarikat produksi filem dan televisyen tempatan kami merayu agar pertimbangan yang sewajarnya dapat diberi.

“Ini sama seperti industri lain yang telah mendapat kebenaran terlebih dulu untuk melaksanakan aktiviti perniagaan yang bersesuaian dan perlu mematuhi SOP seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya.