Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sajat 'dah tak nak jadi orang Islam'
Diterbitkan:  Mar 2, 2021 2:08 PM
Dikemaskini: 6:08 AM

Usahawan selebriti Nur Sajat Kamaruzzaman berkata dia tidak mahu lagi kekal sebagai penganut Islam susulan kontroversi menghimpit dirinya ketika ini.

Melalui sebuah rakaman video yang sedang tular di media sosial, Nur Sajat berkata, dia membuat kenyataan itu kerana berasa kecewa dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Saya cakap bukan nak mengugut ke tak... sumpah demi nama saya, nama ayah saya, nama mak saya, saya dah tak nak jadi orang Islam.

“Saya keluar daripada agama Islam, itu lebih afdal. Saya tak main-main, saya cakap betul. Mereka yang buat saya nak keluar daripada agama Islam,” katanya.

Pada 23 Feb lalu, Nur Sajat dikenakan waran tangkap selepas dia gagal hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor untuk sebutan semula pertuduhan kes berpakaian wanita.

Nur Sajat bagaimanapun mendakwa dia mempunyai alasan untuk tidak hadir iaitu kerana mengalami masalah kesihatan. 

Terdahulu, Jais mengesahkan Sajat, 35, disiasat berkaitan kesalahan jenayah syariah kerana menghina Islam dan kesucian institusi agama di negeri itu.

Dia diminta hadir ke pejabat agama pada 6 Jan lalu untuk memberi keterangan berhubung majlis bacaan doa selamat dan Yasin bersama anak tahfiz yang diadakan di Shah Alam.

Unit Korporat Jais dalam satu kenyataan berkata, Nur Sajat disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Nur Sajat juga mendakwa dia dikasari sewaktu proses siasatan berlangsung. 

Kata penyanyi lagu Makhluk Penggoda itu, pencetus utama yang membuat dia ingin keluar daripada ajaran Islam ialah layanan yang diterimanya daripada Jais.

“Tak salah sekiranya kita buat kajian ke atas agama lain kan, sebab kita tak buat apa-apa tapi orang nak salahkan kita teruk-teruk.

“Lepas kes Jais keluarkan kenyataan mereka, saya terus dah malas nak fikir,” katanya.

ADS