Kisah tragedi penghapusan etnik Bosnia tercalon untuk Oscar
Filem dari Bosnia yang berkisah mengenai krisis penghapusan etnik Quo Vadis, Aida? dinamakan antara lima pesaing utama bagi merebut kategori filem cereka antarabangsa untuk Anugerah Akademi ke-93 atau Oscar tahun ini.
Karya pengarah Jasmila Zbanic itu membawa naratif pembunuhan beramai-ramai lebih daripada 8,000 lelaki dan remaja Muslim oleh tentera Serbia di Bosnia melalui kaca mata seorang jurubahasa wanita yang bekerja di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) berpangkalan di Srebrenica - sebuah bandar di timur Bosnia.
“Bagi kami, ia lebih daripada sekadar sebuah filem. Ini adalah suatu peringatan bahawa penghapusan etnik yang berlaku di Srebrenica dan juga di kawasan lain sebelumnya mesti terus diingati.
“Filem itu dihasilkan bukan untuk memecah-belahkan orang ramai tapi di sebaliknya iaitu untuk memahami diri masing-masing dengan lebih baik,” katanya seperti dipetik Reuters.
Quo Vadis, Aida? menceritakan watak Aida - dilakonkan aktres Serbia, Jasna Djuricic - berusaha menyelamatkan suami dan dua anak lelakinya di tengah kekeliruan dan ketidakupayaan pegawai PBB bertindak ke atas Jeneral Ratko Mladic pada 1990-an.
Mladic merupakan pemimpin Tentera Republik Srpska berketurunan Serbia yang mengetuai gerakan pembunuhan beramai-ramai etnik Bosnia ketika Yugoslavia mengalami krisis yang kemudian membawa kepada perpecahan negara tersebut.
Dikenali sebagai Penyembelih Balkan, Mladic didapati bersalah atas 10 daripada 11 pertuduhan ke atasnya termasuk pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan ketika Perang Bosnia 1992-1995.

Tribunal Jenayah Antarabangsa di The Hague kemudian mengarahkan agar Mladic penjara seumur hidup.
Tentera Serbia Bosnia dan sekutu perang menafikan insiden penghapusan etnik di Srebrenica itu sebagai pembunuhan beramai-ramai seperti ditetapkan dua mahkamah antarabangsa.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu-ibu Srebrenica, Munira Subasic, berkata pencalonan Quo Vadis, Aida? itu membawa makna yang besar buat mereka.
“Kami mencari kebenaran dan menunggu keadilan sejak 26 tahun lalu,” katanya yang kehilangan 22 anggota keluarga termasuk suami dan seorang anaknya.
Oscar kali ini dijadual berlangsung pada 25 April di Los Angeles, iaitu dua bulan lewat dari tarikh sepatutnya selepas ditangguhkan gara-gara pandemik Covid-19.
Selain Quo Vadis, Aida? empat lagi calon ialah Another Round dari Denmark, Better Days (Hong Kong), Collective (Romania) dan The Man Sold His Skin (Tunisia).

