Selepas lima hari bergelar isteri, selebriti kelahiran Kelantan Neelofa menerima anugerah Tokoh Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith (Influencer).

Penghargaan itu diberikan sempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah anjuran kerajaan negeri Kelantan yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan semalam.

Bagaimanapun pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor itu dilaporkan tidak hadir ke majlis berkenaan dan difahamkan berada di Pulau Langkawi atas urusan perniagaan.

Portal Harakahdaily melaporkan, Neelofa mendahului 14 lagi penerima anugerah yang disampikan Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff.

Laporan itu juga menyatakan tiada ahli keluarga atau wakil yang hadir bagi mewakili Neelofa.

Sebagai rekod, sambutan Hari Sayyidatuna Khadijah berlangsung secara tahunan dalam usaha kerajaan negeri mengangkat dan memperkasakan wanita di Kelantan.