Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Terbang' ke Langkawi: Neelofa kata akan selesaikan secara profesional
Diterbitkan:  Apr 5, 2021 6:36 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Selebriti Noor Neelofa berharap diberi ruang untuk menyelesaikan isu dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang di Pulau Langkawi.

Terdahulu, dia dilaporkan ke sana atas urusan kerja tetapi dihujani kritikan kerana didakwa menggunakan kebenaran polis untuk berbulan madu, sejurus selepas perkahwinannya.

Menurut usahawan dan selebriti itu, lawatan kerja di bawah seliaan syarikat Chatime Malaysia tersebut sudah dirancang lebih awal.

“Saya rasa tak perlu jawab, tapi bagi saya selesaikan dengan cara saya sendiri, secara peribadi dan profesional.

“Saya tak perlu beritahu tapi saya perlu selesaikan dengan pihak yang berkenaan saja. Saya berharap semua pihak menghormati keputusan saya.

“Berkaitan hal kerja, ia sudah kami rancang sebulan, bukannya tiba-tiba baru buat (untuk berbulan madu),” katanya melalui rakaman video Malaysia Gazette.

Terdahulu, banyak pihak mempersoalkan urusan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail atau PU Riz ke Pulau Langkawi selepas tular imej mereka berdua di sebuah lapangan terbang.

Mereka mendakwa pasangan tersebut berada di sana kerana berbulan madu.

Bagaimanapun, syarikat tersebut mendakwa, Neelofa dan Haris berada di pulau tersebut atas urusan kerja.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pasangan itu akan dikenakan kompaun jika terbukti melanggar SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

Abdul Hamid berkata Neelofa hanya mendapat kebenaran merentas negeri untuk urusan kerja, namun terdapat mereka yang kelihatan seperti bercuti

Neelofa, 32, dan Haris dinikahkan pada 27 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup di ibu kota.

Pada masa sama, Neelofa berkata, dia bertungkus lumus memenuhi jadualnya ketika ini memandangkan bulan Ramadan bakal menjelma.

“Sebelum puasa saya perlu kerjakan apa yang perlu, iaitu minggu lepas,” katanya.

Lihat Komen
ADS