Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Neelofa, suami akan dikompaun jika terbukti langgar SOP

Selebriti Neelofa dan suaminya, Haris Ismail akan dikompaun jika siasatan polis mendapati kunjungan pasangan itu ke Pulau Langkawi melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata Neelofa atau nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor, 32, hanya mendapat kebenaran merentas negeri untuk urusan kerja, namun tular di media sosial gambar pasangan tersebut yang kelihatan seperti bercuti.

"Kalau kita dapati dia gagal kemukakan bukti, kita akan kompaunkan dia, pegawai penyiasat akan bertanya kepada dia apa dia buat di situ, adakah itu sebahagian daripada kegiatan perniagaan dia.

"Itu macam santai-santai sahaja, jadi tidak boleh, kerana dia datang dari negeri yang PKPB (perintah kawalan pergerakan bersyarat) untuk datang ke kawasan PKPP (perintah kawalan pergerakan pemulihan), dia tidak boleh langgar," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seksyen K9 Langkawi Bahagian Bantuan Teknik D6 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Langkawi hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Kedah Hasanuddin Hassan.

Abdul Hamid Bador

Abdul Hamid menegaskan polis bersikap adil dalam mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran SOP ditetapkan kerajaan dan tidak membeza-bezakan antara rakyat biasa dengan orang kenamaan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata usahawan kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman bersembunyi di luar negara dan pihak polis masih mengesan lokasi sebenar selain terdapat kekangan di sempadan kerana kewujudan banyak lorong-lorong tikus.

"Belum ada apa-apa lagi, dia masih lagi bersembunyi, kalau dia nak muat naik dia punya aktiviti dia di luar kita tunggulah, jerat tidak akan melupakan pelanduk, dia akan balik.

“Saya hairan, dia tidak berhadapan dengan satu hukuman yang boleh dipenjarakan 20 tahun atau dihukum gantung, baliklah dan hadir ke mahkamah," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS