Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Akim jadi 'pengganti' Amy untuk Search
Diterbitkan:  Apr 7, 2021 5:30 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Biarpun tanpa kehadiran Amy yang dianggap antara tulang belakang Search, namun nama dan legasi kumpulan rock legenda itu diyakini tidak akan mati.

Pengunduran Amy sebagai vokalis Mac tahun lalu sedikit pun tidak mematahkan semangat kugiran berkenaan itu untuk meneruskan perjuangan dalam dunia seni.

Terbaru, band itu bakal membuat persembahan 'pemanas badan' Rockology Malaysian Tour 2021 yang bakal berlangsung jam 9 malam di Waronk Avenue, Melaka pada 10 April ini.

Namun, Search kali ini tampil sedikit berbeza apabila ia menampilkan Akim Ahmad bagi menggantikan tempat Amy.

Bercakap mewakili Search, Din berkata, dia berharap peminat kumpulan itu akan terus dapat menerima kehadiran mereka dan memberikan sokongan padu dalam setiap persembahan selepas ini.

“Muzik adalah kerjaya dan minat kami. Search mahu pengakhiran yang baik. Jadi, walaupun tanpa Amy, kami akan terus menggerakkan Search. Kami sayang band ini.

"Ke mana saja pergi orang akan tanya mengenai Search.

“Justeru kami harap Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim dapat mengubat rindu peminat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dapat persetujuan bersama

Din juga memberitahu persembahan berkenaan dianggap sangat penting kerana ia menjadi titik mula buat band itu kembali memeriahkan persada seni suara.

"Harapan saya peminat boleh terima kami walaupun tanpa Amy dan Nasir," katanya.

Bagi Din, Search berasa memang tiada pengganti buat Amy - atau nama penuhnya Suhaimi Abdul Rahman - namun demi meneruskan legasi mereka masih perlu meneruskan perjuangan.

"Tiada pengganti Amy. Cuma, saya perlu move on (melangkah ke depan) untuk teruskan legasi Search, sebab peminat masih ada dan saya yakin dengan sokongan diberikan selama ini,” katanya.

Menariknya, selain Akim persembahan di Melaka itu menampilkan kolaborasi Din sebagai pemain gitar bersama Kid selain Pae (dram) dan Galang (bassist).

Difahamkan ketiadaan Nasir selaku gitar bass Search pada persembahan ini tidak dapat dielakkan kerana dia sedang sibuk menjalankan perniagaan baru.

Nasir hanya akan terbabit pada persembahan akan datang.

Ditanya mengenai pemilihan Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Din berkata ia dipersetujui secara bersama oleh pasukan produksi.

“Kami terlebih dulu buat perbincangan dengan pasukan produksi. Ada beberapa nama yang disenarai pendek.

"Selepas penilaian, suara ramai memilih Akim. Ini bukan penilaian saya seorang.

“Cuma, kalau ditanya secara peribadi, pilihan pertama saya adalah Akim," katanya.

Bagi Din, Akim mempunyai karisma tersendiri selain memiliki kredibiliti mencipta lagu.

"Pendek kata dia ada pakej. Jadi, beri dia peluang untuk buat persembahan bersama kami. Cuma, jangan bandingkan Akim dengan Amy,” katanya.

Sementara itu, Akim berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk membuat persembahan bersama band legenda berkenaan.

“Saya terharu dan teruja apabila dipilih untuk bersama-sama menjayakan persembahan ini.

"Search memang idola saya dari dulu lagi. Apabila dapat menyanyi dan buat persembahan bersama, ia satu penghargaan buat saya.

“Insya-Allah, saya akan cuba berikan yang terbaik. Kepada semua peminat Search jangan lupa saksikan persembahan kami dan tunjukkan tanda sokongan ada buat kami,” katanya.

Lihat Komen
ADS