Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Artis kini buat persembahan di pusat beli belah

Memandangkan penggiat seni hanya dibenarkan melakukan aktiviti di ruangan tertutup, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) terpaksa mencari alternatif bagi membantu golongan tersebut meneruskan kelangsungan hidup.

Menurut Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, pihaknya melalui kolaborasi dengan sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya membuka ruang kepada penyanyi, pelakon, pemuzik dan pelukis untuk terus beraksi di premis berkenaan bagi mengadakan pertunjukan atau demonstrasi.

Katanya, disebabkan persembahan hanya membabitkan ruang tertutup, ia memberi impak besar kepada penghibur dan juga penganjur.

“Akibatnya hampir tiada persembahan pentas dianjurkan kecuali di hotel. Justeru, kami melihat pusat beli belah sebagai salah satu ruang alternatif terbaik buat masa ini.

“Selain dari ia jenis tempat tertutup, agak mudah untuk mengawal penonton sebagaimana dikehendaki dalam SOP bagi mengekang penularan Covid-19 seperti dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya ketika ditemui di kompleks beli-belah tersebut baru-baru ini.

Dengan tema Re(Start) yang membawa definisi “Mula Semula,” artis dijangka mengadakan persembahan esok (1 Mei) seperti Radhi Khalid (bawah), Baba Andy, Julie Sudiro, Asheed Def Gab C.

Ia diikuti ramai pemuzik profesional tanah air yang bakal beraksi secara akustik pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad hingga 16 Mei depan setiap jam 5.30 petang hingga 9 malam.

Antara aktiviti yang disusun seperti Sejiwa Bersama Karyawan yang mengetengahkan sesi jamming akustik disertai penampilan selebriti, demonstrasi lukisan dan pelbagai lagi.

Kata Freddie, pihaknya sentiasa mencari jalan untuk memastikan penggiat seni sentiasa bekerja walaupun ketika negara masih bergelut mengekang Covid-19.

“Pada masa-masa yang semuanya susah sekarang ini, setepatnya adalah untuk kami berkolaborasi dengan semua pihak demi mencari jalan terbaik,” katanya.

Bercakap mengenai prosedur operasi standard (SOP), Freddie memberi jaminan bahawa setiap aktiviti dijalankan akan mengikuti peraturan ditetapkan MKN.

“Persembahan di sini mesti berpandukan SOP yang telah ditetapkan dengan pemeriksaan suhu dan kehadiran akan direkodkan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Lihat Komen
ADS