Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis panggil ibu Neelofa beri keterangan
Diterbitkan:  May 31, 2021 7:31 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Polis Selangor akan memanggil ibu kepada Neelofa Mohd Noor, iaitu Noor Kartini Noor Mohamed untuk memberikan keterangan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui Instagram miliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kes itu sebelum ini disiasat polis Kuala Lumpur, namun ia diserahkan kepada pihaknya kerana insiden berlaku di Selangor.

“Saya dimaklumkan wanita itu membuat laporan polis di Kuala Lumpur dan percakapannya sudah direkod oleh polis di kontinjen berkenaan.

“Namun, kes itu kini diserahkan kepada polis Selangor dan sebab itu, wanita berkenaan akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Kita juga akan memanggil individu lain termasuk kakitangan wanita yang dikatakan mempunyai akses membuka laman Instagram milik ibu selebriti itu dan membuat hantaran berkenaan,” katanya dipetik BH Online.

Semalam, polis memulakan siasatan berhubung hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melalui Instagram Noor Kartini.

Terdahulu, tular tangkap layar Instagram Story Noor Kartini dalam laman sosial berhubung ketidakpuasan hati terhadap sistem raja berperlembagaan.

Namun, ia didakwa dimuat naik secara tidak sengaja oleh pengurus media sosial, di Noor Khan International Sdn Bhd, Zulsyafiqah Zulkafli.

Susulan itu, banyak pihak terkejut dengan kenyataan berkenaan kerana disifatkan menghina sistem raja berpelembagaan di Malaysia.

Bagaimanapun, hantaran dalam IG Story itu dipadam selepas beberapa minit dimuat naik, petang semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Lihat Komen
ADS