Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Festival Kesenian Rakyat Kelate secara maya melalui Facebook mulai jam 9 pagi semalam.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri, dia sedar kerinduan orang ramai khususnya rakyat Kelantan dengan suasana festival seperti sebelum ini.
Bagaimanapun katanya program tersebut terpaksa dilakukan secara dalam talian ekoran pandemik Covid-19 yang melanda.
"Saya tahu ramai yang rindukan kemeriahan suasana pesta tepi pantai dengan pelbagai aktiviti jualan dan demonstrasi. Namun semua itu belum boleh kita adakan buat masa ini berikutan situasi yang melanda negara pada masa ini.
"Justeru, inisiatif menganjurkan festival ini secara dalam talian menjadi pilihan buat sementara waktu.
"Semua aktiviti dilaksanakan secara rakaman dan secara langsung dipancarkan menerusi saluran JKKN TV," terangnya hari ini.
Menurut Nancy lagi, penganjuran pelbagai acara seni dan budaya seperti festival itu adalah salah satu usaha kerajaan untuk membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri mengetengahkan produk seni dan budaya Kelantan ke peringkat antarabangsa.
"Saya juga menggalakkan kesenian tradisional yang terdapat di negara kita dipromosi dan dipopularkan di luar negara melalui pelbagai medium selari dengan perkembangan teknologi semasa.
"Saya percaya dengan kualiti produk dan kaedah promosi secara digital mampu membantu negara bukan sahaja dalam menyumbang ke arah tarikan kehadiran pelancong, malah membantu komuniti tempatan menjana pendapatan dan ekonomi," katanya.
Sementara itu, majlis perasmian itu dibuka dengan persembahan dan tarian tradisional Kelantan.
Seterusnya acara diteruskan dengan persembahan lagu Joget Kelantan oleh Nora dan persembahan dikir barat yang sangat sinonim dengan rakyat Kelantan oleh Arjunasukma.
Akhir sekali majlis tersebut ditutup dengan Tarian Nego yang menjadi tarian rakyat Kelantan yang terkenal pada masa dahulu.
Festival Kesenian Rakyat Kelate 2021 itu melabuhkan tirai pada jam 10.30 malam ini.
Banyak lagi persembahan kesenian rakyat Kelantan yang menarik disajikan kepada orang ramai seperti mak yong, menora dan cabaran tari wau bulan.
