Penyanyi Amerika Syarikat, Pink menawarkan bantuan untuk membayar denda kira-kira AS$1,700 (RM7,500) yang dikenakan kepada pasukan bola baling pantai wanita Norway kerana enggan memakai celana bikini.
Dia yang juga penulis lirik terkenal itu menciap sokongannya di Twitter untuk pasukan tersebut selepas mereka dikenakan denda kerana memakai seluar pendek dan bukannya bikini untuk satu perlawanan di Bulgaria.
Bahkan Pink, 41, turut berkata dia “senang hati” untuk membayarkan denda tersebut.
“Saya amat bangga dengan pasukan bola baling pantai wanita Norway kerana membantah peraturan yang terlalu seksis mengenai uniform mereka.
“Persekutuan bola baling Eropah yang sepatutnya didenda kerana seksis. Saya berbesar hati untuk membayar denda itu untuk anda. Teruskan usaha itu,” ciapnya.
Terdahulu, Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bola Baling Eropah (EHF) mengenakan denda kira-kira AS$1,700 - atau kira-kira AS$176 setiap pemain - disebabkan tidak mematuhi peraturan pakaian.
Ia sekali gus menimbulkan kemarahan ramai termasuk Menteri Budaya dan Sukan Norway, Abid Raja.
Bintang legenda tenis, Billie Jean King turut bersuara mengenai isu terbabit sejurus selepas Pink. Dia menyatakan peraturan sebegitu perlu dihentikan dan tidak adil untuk wanita.
“Pasukan bola baling pantai wanita Norway dikenakan denda kerana mengenakan seluar pendek berbanding celana bikini. Pasukan lelaki pula memakai seluar pendek.
“Diskriminasi seksual terhadap atlet wanita perlu dihentikan,” ciapnya.
