Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ismail Sabri dekati rakyat melalui 'pegawai khas' di rumah

WAWANCARA | Bagi memastikan dirinya tidak ketinggalan daripada perkembangan semasa, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ada 'pegawai khas' yang berkhidmat untuknya tanpa mengira masa.

Menurut Dafi, bapanya itu selalu meminta dia dan adik-beradiknya membuat tangkap layar (screen capture) hantaran berkaitan sesuatu isu di media sosial untuk dimaklumkan kepadanya.

“Sekali-sekala ayah akan minta pandangan dari anak-anak sebab dia nampak kami dah matang dan boleh faham situasi semasa.

“Selain itu, ayah juga rajin meminta bantuan kami untuk menangkap layar berkenaan sesuatu isu yang sedang hangat diperkatakan.

“Ia supaya ayah dapat memahami apa sebenarnya yang berlaku agar tiada kejadian membuatkan dia terkejut sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain Dafi, hasil perkongsian Ismail Sabri dengan Muhaini Zainal Abidin, pasangan itu turut dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Nina Sabrina, 34, Nashriq, 29, dan Iqbal, 24.

Ismail Sabri diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar sebagai perdana menteri tidak sampai dua selepas menjadi timbalan perdana menteri.

Pelantikannya itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lalu susulan kehilangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Sentiasa utamakan keluarga

Bercerita mengenai perwatakan Ismail Sabri, bekas peserta realiti program Akademi Fantasia musim kelima itu menyifatkan, bapanya itu adalah lelaki yang sentiasa mengutamakan keluarga.

Menurut Dafi, 32, dalam kesibukan menguruskan hal ehwal negara, tanggungjawab yang digalas tidak menghalang Ahli Parlimen Bera itu mencuri sedikit masa untuk diluangkan bersama anak-anak.

“Sayalah yang membesar dan melihat bagaimana ayah jarang berada di rumah kerana sibuk dengan tugas-tugasnya. Saya tak harap orang dapat faham bab tu.

“Dan bila dia dilantik menjadi perdana menteri, memang saya tak jangka hal macam tu. Tapi saya tak risau sebab sebelum ni lagi, ayah dah pernah galas banyak tugas di beberapa kementerian berlainan.

“Secara peribadi, setakat ni saya lihat dia seorang yang mengutamakan keluarga, macam mana sibuk sekali pun dia akan curi masa tu sikit untuk diluangkan bersama kami,” katanya.

Namun kata Dafi, meskipun dihimpit tugas-tugas mencabar, Ismail Sabri tidak pernah pulang dari kerja dengan bermasam muka apatah lagi membawa sebarang masalah di pejabat ke rumah.

“Ayah seorang yang sangat tenang. Setiap kali saya bertanya, jawapannya OK saja. Selalunya bila dia tinggalkan kerja di pejabat, dia pulang dan fokus pada keluarga,” katanya.

Ditanya alasannya mengapa tidak mengikut jejak langkah ayah dalam bidang politik, Dafi berkata: “Kami memang suka berdepan dengan orang ramai namun melalui pendekatan yang berbeza.”

Bagi Dafi, apa didepani ayahnya selama ini dalam arena berpolitik tidak mungkin dapat dilakukannya sendiri dengan mudah.

“Pendekatan ayah dengan orang ramai adalah melalui politik manakala saya melalui nyanyian dan menari. Bidang seperti ni lebih sesuai untuk saya.

“Secara jujur, saya belum tentu dapat hadap apa yang ayah harungi sepanjang dia memegang jawatan dalam politik,” katanya.

Lihat Komen
ADS