Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finalis di Kanada, 3 penyanyi berdebar menanti nasib Sifar esok

Berdebar-debar adalah perasaan dialami tiga anak muda - Asfan Shah, Kmy Kmo dan Tripdisz - yang menanti keputusan akhir selepas Sifar terpilih antara tiga finalis bagi merebut gelaran juara di International Media Festival for Prevention (IMFP) di Toronto, Kanada esok.

Kata Asfan, mereka sangat berharap dapat mengharumkan nama Malaysia melalui Sifar, lagu yang diterbitkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan dicipta bersempena sambutan Kongres Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dunia XXII sejak semalam dan dijadual melabuhkan tirainya esok.

“Doakan kami berjaya mengharumkan nama Malaysia esok,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Kata Asfan, 35, dia tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata mengenai perasaannya apabila Sifar layak bersaing di pentas antarabangsa.

“Sebelum ni saya hanya berpeluang bersaing di peringkat dalam negara, atau paling jauh pun di Singapura. Justeru, apabila dapat peluang ni, saya sangat bersyukur.

“Saya tak jangka langsung perkara ini (menjadi finalis) boleh terjadi apatah lagi lagu yang ditulis dibawa ke peringkat antarabangsa," katanya.

Menurut Asfan dia kehilangan kata-kata apabila Perkeso memberitahu mereka menjadi finalis bersama dua lagu lain.

Cukup rasa bagai juara

Pertandingan itu melibatkan 289 penyertaan dari 40 negara. Sifar disenaraikan satu daripada tiga finalis dalam kategori Music Is Key. Secara keseluruhan ada enam kategori dipertandingkan.

Sifar yang menjadi runut bunyi filem Warkah itu diterbitkan Perkeso pada 2019. Ia ditulis serta digubah Asfan, Kmy Kmo, Tripdisz dan Lady D.

Ia dicipta untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang kepentingan jaringan keselamatan sosial, termasuk inisiatif pencegahan kemalangan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Lirik lagu itu turut menyelitkan elemen Vision Zero iaitu transformasi terhadap aspek pencegahan menggabungkan elemen keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan yang diperkenalkan oleh Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi mengurangkan kemalangan di tempat kerja dan penyakit akibat pekerjaan.

Kmy Kmo pula berkata, meskipun ketika ini Sifar baru berada pada tiga kedudukan teratas, pencapaian itu sudah cukup membuatnya terasa seperti juara.

“Ini adalah satu permulaan projek saya bersama Asfan yang menunjukkan hasil sangat baik. Terima kasih pada Asfan yang memberi kepercayaan pada saya.

“Saya memberikan yang terbaik dalam lagu berkenaan. Ini satu pengalaman yang amat mengujakan.

“Walaupun belum diumumkan lagu mana yang menjadi juara, pada kedudukan seperti ni dah cukup buat saya terasa seperti juara. Tapi jika benar-benar diumumkan sebagai juara, lagi bagus,” katanya.

Menurut Tripdisz pula, antara faktor yang melayakkan Sifar menjadi finalis mungkin disebabkan lagu itu mengandungi elemen yang pelbagai termasuk nusantara.

“Kami menyuntik elemen nusantara dalam lagu hip hop. Hip hop memang ‘makanan’ saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pencegahan dan Pemulihan Perkeso, Dr Azlan Darus berharap, Sifar berjaya menjadi juara selepas dua cubaan terdahulu gagal mencapai sasaran yang diidamkan.

“Perkeso harap ada peluang untuk mengibarkan bendera Malaysia sebagai juara untuk kategori tersebut selain menunjukkan negara kita tidak ketandusan idea dalam mempromosi kesedaran pada golongan yang bekerja di negara ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS