Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Azri terpaksa 'bohong sunat' pada Ellie untuk dapatkan vaksin

Demi menjaga keharmonian rumah tangga, pelakon Azri Iskandar berkata, dia terpaksa berbohong kepada isterinya Ellie Suriati Omar semasa mahu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Apabila ditanya alasan untuk keluar mendapatkan suntikan itu, kata Azri, dia memberitahu Ellie yang dia mahu ke bengkel.

“Ellie sangat terkejut apabila mengetahui saya dah lengkap dua dos vaksin Covid-19. Selama ni saya sering jawab 'tak' saja apabila ditanya mengenai vaksin walaupun sebenarnya saya dah cucuk (ambil vaksin).

"Dia tahu hanya selepas saya memaklumkan kepadanya yang saya akan jalani penggambaran.

“Semasa nak pergi pusat vaksin tu pun saya cuma bagitahu Ellie yang saya nak pergi ke bengkel hantar anak,” katanya kepada Malaysiakini.

Pemilik nama penuh Azri Iskandar Zulkiffly Iskandar itu mengakui, dia sebenarnya tidak pasti bagaimana hendak menjelaskan situasi sebenar kepada isterinya itu yang memang lantang bersuara mengenai suntikan vaksin Covid-19.

Kata Azri, jika tidak mendapatkan suntikan vaksin, dia akan hilang punca untuk mencari nafkah buat keluarganya kerana kerajaan menggariskan syarat itu kepada penggiat industri kreatif sebelum boleh mereka menjalani sebarang penggambaran.

“Sebelum ni dia (Ellie) asyik bising pasal antivaksin. Saya pula terpaksa ambil vaksin. Jika tak ambil, tak boleh bekerja.

“Saya pun takut nak ambil vaksin tu sebenarnya. Tapi dah terpaksa, kenalah ambil juga," katanya.

Harap ada ruang berbincang

Selepas mendapatkan suntikan tersebut, kata Azri, dia bersyukur kerana ditawarkan bekerja dengan Skop Productions Sdn Bhd untuk drama lapan episod berjudul Kuasa terbitan Astro.

Azri berkata, dia pergi ke pusat pemberian vaksinasi bersama anak ketiga daripada perkahwinannya yang terdahulu, iaitu Nur Anis Mastura, 26. Dia selesai menerima suntikan kedua pelali itu pada 26 Ogos lalu.

Ellie sebelum ini mengakui dia menemani dua orang anaknya, iaitu Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen, 12, membuat laporan polis pada 30 Ogos lalu atas alasan mahu mempertahankan hak mereka menolak suntikan vaksin Covid-19 yang mahu dilaksanakan kerajaan terhadap pelajar.

Turut hadir membuat laporan, seorang lagi rakan Azrell yang juga berusia 17 tahun. 

Pengarah, pelakon dan penulis skrip itu malah berkata dia tidak teragak-agak untuk memberhentikan kedua-dua anaknya daripada meneruskan persekolahan sekiranya kerajaan memaksa pelajar mengambil vaksin.

Sementara itu, ditanya soal anak-anaknya yang mungkin terpaksa berhenti dari persekolahan akibat menolak vaksin, Azri berkata, mungkin masih ada ruang untuk dia berbicara mengenai hal itu bersama Ellie.

“Saya berharap boleh berbincang dengan Ellie pasal persekolahan anak-anak. Mungkin di kemudian hari, Ellie juga akan terbuka hati untuk ambil vaksin terutama bila keadaan sudah terpaksa.

“Saya harap dia akan berfikir panjang,” katanya yang enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu.

Lihat Komen
ADS