Vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat, hanya sempat bersama anak pertamanya selama tiga hari sebelum dirundung perasaan hiba apabila bayi berkenaan disahkan meninggal dunia sebentar tadi.

Berita dukacita itu dikongsikan Azmi melalui hantaran terkini dalam Instagram miliknya.

“Allah lebih menyayanginya. Afnan tunggu kami di syurga ya,” katanya.

Pemilik nama penuh Khairul Azmi Mohd Saat, 34, itu sebelum itu berkongsi detik-detik terakhir dia memangku Allahyarham Khairul Afnan.

“Kami sedang riba Afnan buat kali terakhir. Beberapa minit saja lagi,” luahnya.

Terdahulu, Azmi dan isterinya, Nazira Muhammad berdepan ujian hebat apabila bayi yang dinanti-nanti selama 10 tahun dimaklumkan mengalami masalah fungsi otak.

Sejak hari pertama dilahirkan pada 27 Sept lalu, Afnan dipakaikan alat bantuan pernafasan dan sepatutnya menjalani ujian pengimejan resonans magnetik (MRI).

Bayi tersebut dipakaikan alat pernafasan selepas doktor mengesyaki otaknya tidak berfungsi kerana dia tidak bergerak.

Azmi dan Nazira mendirikan rumah tangga pada 2011.