Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Orang bukan Islam tak baca Quran, tapi baca perangai kita'

Pada ketika ini, kata Zul Ariffin, bertembung dengan pihak yang menunggang agama bukanlah sesuatu yang langka lagi seperti pernah berlaku suatu ketika dulu.

Menurut pelakon itu, bertemu dan melihat pihak tertentu memanipulasi agama untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu sudah menjadi realiti kehidupan ramai.

Pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin itu berkata, biasanya keadaan itu berlaku apabila individu terbabit mempunyai ilmu agama namun enggan untuk memanfaatkan kelebihan itu mengikut cara yang sewajarnya.

“Saya rasa, orang mungkin boleh berjumpa penunggang agama sekurang-kurang sekali seminggu. Jika seseorang itu memiliki ilmu agama, tapi dia tak praktikkan (dengan baik) akan jadi begitulah,” katanya.

Zul - yang dilaporkan media mula menyertai pendakwah terkenal, Ebit Lew sebelum ini - menjelaskan atas sebab itu jugalah seseorang Muslim harus menunjukkan perangai yang baik agar boleh menjadi teladan kepada orang lain.

“Dalam kalangan orang bukan Islam, mereka tak baca al-Quran, sebaliknya mereka 'baca' perangai kita (orang Islam),” katanya.

Tak perlu menunjuk-nunjuk

Zul, 34, berkata demikian pada sidang media mempromosikan filem terbaru lakonannya, Penunggang Agama 2, yang diadakan secara maya kelmarin.

Filem itu dijadual menemui penonton di saluran Astro First bermula 19 Oktober ini.

Ditanya pengalamannya bersama Ebit, pelakon Bidadari Kiriman Tuhan itu lebih selesa berkata, tiada istilah 'berhijrah' kerana baginya, dia hanya mendalami agama.

“Bila berjumpa, Ebit, kami hanya berbual, berkongsi ilmu dan solat jemaah, itu saja. Kebetulan, saya ada lebih masa kerana tidak dapat bekerja selepas perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

“Sekali sekala rasa bertuah dapat bersembang dengan seseorang seperti Ebit. Sebab pada waktu lain kita tak bersembang perkara macam tu. Kadangkala betapa seseorang perlukan perkara macam tu, tapi kita tak sedar,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zul, dalam soal itu, dia tidak perlu menunjuk-nunjuk kepada sesiapa akan apa-apa juga amalan kerana ia adalah urusan peribadinya dengan Tuhan.

“Pacak tripod (alat menopang kamera) rakam tengah sembahyang... itu bukan saya. Senang cerita, jangan pergunakan agama untuk kepentingan sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas kontroversi yang melanda Ebit hingga menyebabkan timbul pandangan serong ke atas usaha positif dilakukan pendakwah tersebut, Zul menjawab: “Saya tak pernah tanya atau persoalkan pada dia.”

Kata Zul, setiap manusia sentiasa ada ujian masing-masing dan sedar dirinya bukanlah siapa-siapa untuk menilai personaliti berkenaan.

“Saya cuma minta dia dapatkan rehat yang secukupnya dan makan makanan yang berkhasiat sebab sering keluar, bantu orang, dia nampak penat," katanya.

Lihat Komen
ADS