Siti Saleha, sah bercerai dengan suaminya, Ahmad Lutfi Azhar, dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor, hari ini.
Pelakon berkenaan menganggap perceraian berlaku secara baik dan reda jodoh dengan suaminya itu hanya bertahan selama empat tahun.
"Okay, untuk hari ini, kami sudah bercerai secara baik. Jodoh kami tak panjang, sampai di sini saja.
“Itu sajalah saya nak cakap. Selebihnya, saya tak nak ulas apa-apa," katanya dipetik Harian Metro Online.
Pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu juga enggan mengulas lanjut berkenaan butiran prosiding di mahkamah tersebut.
"Kami tiada persefahaman, itu saja... Terima kasih," katanya.
Malaysiakini pada 13 Oktober tahun lalu melaporkan, Siti Saleha mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap Ahmad Lutfi.
Aktres berusia 31 tahun itu berkata, ia dilakukan atas kebenaran mahkamah.
Siti Saleha seorang selebriti yang jarang berkongsi hal peribadi buat tatapan umum.
Kali terakhir pelakon itu memuat naik gambar bersama suaminya adalah pada 24 Mac tahun lalu.
Hantaran itu dimuat naik di media sosial sempena meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Ahmad Lutfi yang ke-35.
Pasangan berkenaan melangsungkan pernikahan pada 28 Julai 2017 namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
