Penyanyi Iman Troye mengakui pernah dibuli ketika di bangku sekolah suatu ketika dulu.
Iman berkata, di sebalik kejayaannya mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 serta mendapat sijil dekan di universiti, dia sebenarnya bergelut dengan pelbagai emosi.
Hal itu didedahkan pelantun lagu Nang itu pada sesi perkongsian virtual bersama pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu calon pelajar SPM, PTTI semalam.
“Waktu sekolah saya dulu tak indah sebenarnya. Saya pernah dibuli di sekolah. Memang tak ada kawan sangat.
“Tapi saya tak jadikan hal itu sebagai hal melemahkan semangat belajar. Jumpa kawan di sekolah baru, saya wujudkan kitaran positif yang betul dan mengajak kita untuk belajar.
“Pastinya dalam apa kita lakukan akan ada pergelutan itu ini,” katanya.
Menurut Iman atau nama penuhnya Nur Iman Alyssa Sahabudin, dia bergelut ketika zaman persekolahan sebagai persediaan melangkah ke universiti.
Hal sama katanya, berlaku sesudah itu.
“Macam sekarang pun kena bahagi masa antara bekerja (menyanyi) sambil belajar Diploma dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara(UiTM), Shah Alam.
“Saya bertekad untuk berjaya. Pada akhirnya ia juga berbalik soal rezeki serta restu ibu bapa,” katanya.
Tambah Iman, dia sentiasa memujuk diri untuk belajar atau membuat perkara yang diminati.
“Saya turut berjumpa kawan yang ada minat sama. Kegembiraan itu pilihan, jadi buatlah benda yang disukai dan diminati.
“Jangan bagi pendapat jika tidak diminta atau ditanya. Jadilah pendengar yang baik untuk kawan.
“Kalau stres cari kawan dan luah. Saya jenis yang pentingkan kawan. Anda juga kena pentingkan kawan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar PTTI, Muhd Habibunajjar Sazali atau Cikgu Habib merakamkan ucapan tahniah kepada pemenang peraduan Aku Pilih PTTI 2.0, Muhammad Haizul Ahmad yang memenangi motosikal Yamaha Ego.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana pula berkata peraduan itu diadakan untuk mempengaruhi pelajar lain sesi pembelajaran secara efektif dan percuma menerusi aplikasi ditawarkan.
“Konsep atau konteks yang mahu diketengahkan adalah lebih kepada misi PTTI nak lihat lebih ramai pelajar mendapat manfaat dari aplikasi terbabit untuk belajar dan peningkatan pemahaman dalam pembelajaran di mana mana.
“Situasi itu terjadi kepada Muhammad Haizul (pemenang motosikal). Sejak dilancarkan aplikasi ini sudah dimuat turun lebih 30,000 pelajar untuk menikmati pembelajaran percuma. Yang menyertai peraduan pula sekitar anggaran 5000 pelajar," katanya.
Selain itu, pusat kelolaan tersebut melancarkan kempen #SediaAwal yang memfokus kepada pelajar Tingkatan 4 yang bakal melangkah ke Tingkatan 5 pada bulan Mac depan.
Usaha itu turut mendapat sokongan MK Clique dan Iman Troye.
