Inteam 'berkampung' dengan pelarian demi sasar bantuan RM1 juta
Demi mengumpul RM1 juta dalam tempoh 12 jam, kumpulan nasyid Inteam akan tinggal dalam kawasan petempatan pelarian di Syria dan merasai sendiri suasana cuaca yang sejuk dan sukar di sana.
Kata anggota Inteam, Hazamin, cabaran itu akan turut dilakukan bersama dua lagi anggota Inteam iaitu Rahim dan Syahril.
“Kami menyambung tugasan delegasi Peduli Insan Malaysia untuk ke kem pelarian di utara Syria membabitkan 1.5 juta pelarian.
“Cabaran yang dibuat tu akan berlangsung bermula dari jam 11 pagi sehingga 11 malam waktu Malaysia.

“Kami akan tinggal dalam khemah diperbuat daripada kanvas dan kain nipis dalam musim sejuk yang mencengkam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kelmarin.
Menurutnya, mereka akan merasai kesejukan serta berinteraksi secara dalam talian dengan selebriti dan tokoh-tokoh dari Malaysia serta tempat-tempat lain.
“Kami nak peminat, selebriti serta semua rakyat Malaysia menyokong dengan menonton secara langsung (live) di akaun rasmi Facebook Inteam dan berkongsi di Facebook masing-masing.
“Ia kerana kami mensasarkan untuk kutip dana RM1 juta untuk bantu 100, 000 penduduk di kem pelarian Syria.
“Sasaran agak tinggi iaitu RM1 juta dan mungkin nampak agak susah, tapi kalau ramai yang menyokong dan berkongsi sebarkan live ini, tak mustahil ia dapat dicapai,” tambahnya.
Hazamin yakin, sekiranya 100,000 individu boleh menyumbang sebanyak RM10 seorang pasti jumlah sebesar itu boleh dicapai dengan mudah.

“Kita harap dapat sampaikan kepada 100,000 pelarian. Bantuan yang akan diberikan ialah bakul makanan, set hidangan panas, alat pemanas serta bahan bakar, set pakaian musim sejuk dan selimut yang dikenali sebagai Selimut Kasih.
“Saya pernah sampai seorang diri tahun lalu dan berasa sedih sehingga menitiskan airmata tengok sekolah mereka. Ia sebuah khemah berlantaikan lumpur dalam keadaan sejuk tanpa pemanas.
“Teringat keadaan kita di Malaysia walau diuji dengan pandemik masih mempunyai sekolah yang selesa. Boleh belajar secara dalam talian di rumah masing-masing," katanya.
Sementara itu, Syahril pula memberi jaminan bahawa bantuan yang dihulurkan akan sampai ke tangan pelarian tanpa ada sebarang penyelewangan.
Katanya, mereka yang menderma tidak perlu khuatir sumbangan mereka tidak sampai.
“Insya-Allah jangan risau, perkara ini kita akan sampaikan. Kami hanya mewakili penderma untuk sampaikan sumbangan.
“Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap prihatin dan kemurahan hati. Kalau dengar saja isu semasa, mereka cepat menyalurkan bantuan. Itu kelebihan kita.
“Jadi ketepikan komen toksik dan teruskan kerja kita,” katanya.
Inteam akan turut mengambil kesempatan membuat penggambaran muzik video lagu Selimut Kasih ciptaan Syahril dan lirik Fedtri Yahya semasa di sana.

