Penyanyi Kaka Azraff selamat melahirkan bayi lelaki kedua pada pukul 12.05 tengah malam tadi di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Kaka berkongsi berita gembira itu melalui media sosial dengan meluahkan rasa syukur proses bersalin berjalan lancar.

“Syukur pada Allah. Secara rasminya saya ibu kepada dua anak. 22.2.22 jam 00:05 pagi,” ciapnya di Twitter.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff turut berterima kasih pada suami, Adam Adzriff yang banyak membantu memberikan sokongan sepanjang perjalanannya untuk melahirkan anak.

“Terima kasih kerana memberi sokongan yang terbaik, penghibur, pemberi motivasi dan doktor separuh masa sepanjang tempoh ini.

“Saya tidak tahu apa jadi tanpa awak. Saya sayangkan awak, Daddy kepada dua anak,” katanya lagi.

Penyanyi itu turut berkongsi gambar anaknya namun menyembunyikan wajah bayi berkenaan.

Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 hasil perkongsian hidup itu, mereka turut dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Aslan yang kini berusia 3 tahun.

Sementara itu, Adam turut memaklumkan Kaka dan bayi mereka berada dalam keadaan baik.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Bayi lelaki kami sihat dan kuat,” katanya.