Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hattan 'kuatkan semangat' demi kecintaan kepada Negeri Sembilan

Kalau mengingatkan pengalaman memenatkan sebelum ini, Hattan seakan jera untuk berlakon lagi.

Namun, demi Gadis Jolobu The Movie, dia menggagahkan diri demi kecintaannya kepada Negeri Sembilan.

“Filem ni muncul lepas hampir 10 tahun saya tak berlakon. Kali terakhir saya berlakon filem adalah di bawah arahan Allahyarham Mamat Khalid, Rock Bro.

“Sebenarnya saya dah tak nak berlakon lagi. Beberapa kali saya tolak tawaran yang datang sebab ia sangat memenatkan. Tapi untuk Gadis Jolobu The Movie, saya tak boleh tolak.

“Sebabnya, filem ni angkat budaya Negeri Sembilan. Kalau bukan orang Negeri Sembilan sendiri yang perlu memartabatkan bahasa mereka, siapa lagi?” ujarnya.

Menurutnya, cadangan untuk membikin filem dengan dialek Negeri Sembilan itu dilontarkan kepada Pengasas Bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif Saraleana Nattaya Azmi kira-kira tiga tahun lalu.

Hattan, 57, berkata, dia mengutarakan idea tersebut kerana berpendapat tidak banyak filem tempatan yang mengetengahkan loghat itu.

“Kalau Mami Jarum filem yang guna dialek Pulau Pinang dan Hantu Kak Limah (Perak) boleh mendapat sambutan tinggi, mengapa tidak Gadis Jolobu?” katanya.

Hattan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman filem berkenaan di KL Jazz and Arts Centre, di Kuala Lumpur semalam.

Filem kerjasama Zebra Studio Sdn Bd dan Tremendous Entertainment yang diarahkan oleh CL Hor itu memulakan penggambaran di Kampung Lonek, Negeri Sembilan, hari ini.

Ia berkisahkan mengenai tiga bujang terlajak dalam usaha untuk mencari jodoh masing-masing di kampung halaman mereka.

Selain Hattan, turut menjayakan Gadis Jolobu The Movie ialah pelakon seperti Joey Rahman, anak Hattan, Adam, Khir Rahman, Nizam Laksamana dan Ahirine Ahirudin.

Untuk rekod, selain berlakon, penyanyi itu turut bertindak sebagai perunding dialog untuk naskhah berkenaan bagi memastikan dialek Negeri Sembilan yang dituturkan pelakon tidak kedengaran pelik.

Dia pada masa sama yakin filem Gadis Jolobu The Movie tidak mempunyai masalah untuk mendapat sambutan tinggi penonton meskipun mengetengahkan 90 peratus dialek Negeri Sembilan.

Jelasnya, ia susulan filem itu dihasilkan sempena kejayaan luar biasa diperolehi Gadis Jolobu, lagu duetnya bersama W.A.R.I.S yang meraih hingga jutaan tontonan di YouTube.

“Saya dapat ilham untuk hasilkan filem berkenaan daripada lagu itu yang raih hampir 10 juta tontonan di saluran tersebut.

“Kami fikir, mungkin agak mudah untuk tembusi pasaran di sini disebabkan lagu tu yang mendapat permintaan ramai.

“Selain genre seram, penonton negara ini memang ‘dahagakan’ naskhah komedi, jadi saya rasakan ia adalah suatu faktor yang kuat untuk meraih sambutan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS