Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

PEMILIHAN PKR | Pemilihan PKR menyaksikan tiga selebriti yang bertanding bagi jawatan ketua cabang tewas dalam pemilihan berkenaan.

Hans Isaac dan Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet tewas dalam perebutan jawatan ketua cabang Ampang.

Manakala Afdlin Shauki tewas kepada Nik Nazmi Nik Ahmad dalam pertandingan dua penjuru di cabang Setiawangsa.

Menurut keputusan yang disiarkan laman sesawang pemilihan PKR, keputusan cabang PKR Ampang berpihak kepada Daing Muhammad Reduan Bachok yang meraih undian tertinggi berjumlah 942 undi.

Hans Isaac, seorang pelakon dan penerbit berada di kedudukan kedua dengan undian sebanyak 609.

Sementara itu, Altimet yang juga komposer dan penyanyi rap berada di tempat ketiga memperolehi 589 undian.

Ketua cabang baru PKR Ampang, Daing Muhammad Reduan Bachok.

Bagi pemilihan PKR cabang Ampang itu, ia menyaksikan persaingan tujuh calon bagi jawatan ketua cabang.

Empat calon lain yang turut tewas ialah Abdul Halim Mohamed Yusof (272 undi); Sam Hoo Wai (138 undi); Abdullah Md Zain (110 undi) dan Abdul Latiff Shaari hanya mendapat 17 undi.

Dalam perkembangan berkaitan, jawatan timbalan ketua cabang Ampang dimenangi Mohd Rozlan Ahmad Tajuddin yang menewaskan empat calon lain.

Sementara itu, Afdlin tewas di Setiawangsa apabila memperoleh 372 undi berbanding Nik Nazmi yang memperoleh 482 undi.

Jawatan timbalan ketua cabang berkenaan pula dimenangi oleh Raja Mazlan Raja Aziz yang memperoleh 427 undi, menewaskan pencabarnya, Mohamad Faidzal Ibrahim yang mendapat 343 undi.

Lihat Komen
ADS