Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Model KLFW 2022 terima bayaran selepas protes Alicia Amin

Penganjur Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) telah membuat bayaran segera kepada model yang terlibat pada acara itu, kata model terkenal Alicia Amin.

Ini selepas dakwaan bahawa model-model bagi acara itu pada tahun-tahun sebelumnya masih belum menerima bayaran mereka.

"Setakat pengetahuan saya, empat daripada model yang ada pengalaman belum dibayar sebelum ini, yang saya kenali secara peribadi, juga telah dibayar tepat pada masanya tahun ini," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun Alicia berkata walaupun penganjur KLFW, Andrew Tan telah membayar kepada agensi permodelan, namun masih tidak jelas sama ada model terlibat telah menerima bayaran kerana setiap agensi mempunyai pengaturan sendiri.

"Agensi tempatan yang saya boleh sahkan telah membuat bayaran ke akaun bank model ialah Topboi Citizen," tambahnya.

Semalam Alicia menganjurkan protes berseorangan di Pavilion Mall, Kuala Lumpur bagi mengetengahkan isu bayaran lewat kepada model yang menyertai acara itu.

Meneruskan aksinya di Instagram, aktres berusia 27 tahun itu meminta semua model yang tidak dibayar dalam tempoh 24 jam untuk menghubunginya.

Tan mengakui isu kelewatan bayaran kepada model berkenaan minggu lalu.

Tan juga berkata penganjur mungkin menghadapi kesukaran membayar tepat pada masanya kerana "kelewatan daripada pihak pelanggan".

Bayaran untuk acara sebelum ini

Bagaimanapun, Alicia memberitahu Malaysiakini bahawa Tan masih belum terlepas daripada tanggungjawabnya kerana ramai model untuk KLFW dari tahun-tahun sebelumnya sejak 2015 masih belum menerima bayaran.

“Walaupun dah bayar model untuk peragaan tahun ini, masih ada model yang dia berhutang dari tahun-tahun sebelumnya yang belum dibayar.

“Sesetengah daripada mereka menghubungi saya hari ini selepas catatan saya (di Instagram), jadi dia (Tan) belum terlepas,” katanya.

Alicia menambah dia secara peribadi telah memanjangkan isu bayaran yang tertangguh kepada Tan.

"Dia mengakui sedia maklum," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Tan untuk mendapatkan komen.

Gambar protes yang dilakukan Alicia semalam dikongsi mereka yang berada dalam industri peragaan dan hiburan, yang mendakwa mereka juga belum menerima bayaran daripada penganjur.

Ini bukan kali pertama Alicia bersuara menentang isu bayaran tertangguh kepada model.

Awal bulan ini, Alicia memberitahu Sinar Daily bahawa dia melakukan protes pada 2019 untuk memastikan model yang lebih muda dan lebih baru mendapat bayaran.

Katanya, walaupun dia kebiasaannya menerima bayaran pendahuluan, namun ramai model lain dibiarkan tergantung "sehingga hari ini, walaupun saya banyak bercakap dengannya (Tan)".

“Pada 2013, selepas enggan membayar saya selama lebih setahun, saya mengugut untuk menyaman kerana ibu saya seorang peguam.

"Selepas itu, mereka enggan bekerja dengan saya sehingga 2019, apabila saya semakin menyerlah," katanya.

Lihat Komen
ADS