Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengarah Indonesia filemkan perjuangan Anwar, Farid Kamil watak utama
Diterbitkan:  Nov 9, 2022 9:00 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Tindakan Farid Kamil sering berkongsi kisah perjuangan Anwar Ibrahim di media sosial terjawab apabila dia terpilih melakonkan watak tokoh politiknya itu.

Malah itu juga menjelaskan penglibatannya dalam dunia seni Indonesia dan berlakon bersama bintang handalan negara seberang Acha Septriasa, yang didedahkannya kira-kira sebulan lalu.

Produksi Bianglala Entertainment dari Indonesia semalam mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Farid terlibat dalam filem berjudul Anwar–yang mengisahkan perjuangan Anwar di tahun-tahun terakhir sebelum dipecat daripada kerajaan.

“Perjuangan Anwar Ibrahim melawan rasuah diabadikan dalam sebuah filem layar lebar,” kata produser eksekutif filem itu Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque.

Farid dan Acha Septriasa yang membawakan watak Wan Azizah

Dalam filem itu, Farid akan melakonkan watak Anwar. 

Sementara Acha, yang terkenal dengan filem Heart Acha melakonkan isterinya Wan Azizah Ismail. 

Untuk Mahathir Mohamad pula–musuh sepanjang zaman Anwar–peranan itu digalas oleh Hasnul Rahmat.

Sementara itu, Zunar berkata filem itu telah diusahakan sejak Ogos 2021 dan kini di peringkat akhir penggambaran dan dijangka menemui penonton awal tahun depan.

Zunar mendedahkan, ia merakamkan perjuangan Anwar dari tahun 1993 sehingga September 1998–era bermulanya gerakan reformasi terhadap pentadbiran perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Babak tegang antara Anwar dan Mahathir

Filem itu, kata Zunar,  akan memfokuskan kepada perjuangan Anwar melawan “sistem korup” dan bagaimana  dia menolak pelbagai imbuhan dan wang tunai daripada cukong-cukong besar. 

“Juga bagaimana dia enggan menggunakan wang rakyat untuk bailout (menyelamatkan) syarikat anak pemimpin tertentu yang kerugian berbilion ringgit. 

“Kerana itu dia difitnah dengan sebuah konspirasi besar, dipecat, dipukul secara brutal dalam lokap dan dibiarkan tanpa rawatan perubatan hingga beberapa hari,” kata Zunar.

Anwar diarahkan oleh Viva Westi, sutradara terbaik dalam Festival Filem Indonesia pada 2008. Turut terlibat dalam filem itu ialah Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Lihat Komen
ADS