Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti nafi kata acara Aidilfitri di Kedah 'seperti majlis politik'
Diterbitkan:  May 1, 2023 9:17 AM
Dikemaskini: 3:10 AM

Penyanyi terkenal Siti Nurhaliza Tarudin menafikan membuat kenyataan berkenaan acara sambutan Aidilfitri di Kedah "seperti majlis politik".

Dalam hantaran di Instagram semalam, Siti turut meminta sebuah portal hiburan agar tidak menyebarkan kenyataan tersebut.

"Saya tak pernah buat kenyataan ini," katanya.

Ia dipercayai merujuk kepada acara Himpunan Madani Kedah 2023 anjuran kerajaan persekutuan yang diadakan pada 28 April lalu, sehari sebelum Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang juga di negeri itu.

"Siapalah yang pandai-pandai edit berita palsu ini, gunakan nama Facebook saya (yang verified) dan forward merata-rata dan buat orang yakin ia hantaran sebenar.

"Ini palsu. Cukup-cukuplah semua perkara nak dibuat macam ini (berita palsu). Saya ini penyanyi, hiburkan semua orang," katanya lagi.

Artikel itu antara lain memetik Siti sebagai berkata dia menerima undangan untuk memeriahkan majlis tetapi tidak menyangka "ia seperti majlis politik".

Semakan mendapati artikel tersebut telah dipadam oleh portal hiburan itu.

Selain Siti, penyanyi Amy Search juga menjadi artis undangan di acara itu, yang menyaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri kabinet memberi ucapan.

Sementara itu, portal hiburan Rotikaya memohon maaf kerana atas artikel yang dibuat berdasarkan hantaran Facebook yang palsu.

"Sesiapa yang buat (hantaran) Facebook palsu, semoga insaf. Dengan kami terpedaya sekali sebab di laman Facebook itu siap promosikan tiket konsert sekali.

"Maafkan kami Tok Ti (Siti) atas kesilapan kami," kata Rotikaya di laman Facebooknya hari ini.

‘Telah jadi bahan fitnah’

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata laporan palsu itu telah tersebar dan menjadi bahan fitnah dalam pelbagai kelompok masyarakat.

"Malah ada yang percaya atau dijadikan bahan politik.

"Saya pohon rakan-rakan media untuk sentiasa mengesahkan maklumat dan sumber sebelum menerbitkan berita agar tidak timbul isu seperti ini," katanya di Twitter, sambil turut mengongsikan tangkap layar penafian yang dibuat Siti.

Lihat Komen
ADS