Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH Kedah anjur himpunan sehari sebelum Rumah Terbuka Madani
Diterbitkan:  Apr 27, 2023 1:58 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Pakatan Harapan (PH) Kedah akan menganjurkan sebuah perhimpunan di Alor Setar, Kedah malam esok, sehari sebelum Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani anjuran Putrajaya pada hari berikutnya.

Menurut bahan promosi untuk majlis itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, timbalannya Ahmad Zahid Hamidi dan tiga lagi menteri kabinet - Saifuddin Nasution Ismail, Salahuddin Ayub dan Nga Kor Ming - akan hadir bersama.

Penyanyi terkenal Siti Nurhaliza dan Amy Search dijadualkan membuat persembahan semasa majlis itu yang sebahagian besar atur caranya  menampilkan ucapan daripada tokoh-tokoh kerajaan.

Adun Suka Menanti Zamri Yusuf, selaku pengarah Jawatankuasa Induk himpunan itu, berkata 10,000 orang dijangka menghadiri majlis yang bakal diadakan di Dataran Stargate, Alor Setar itu.

“Objektif himpunan ini untuk kita terapkan masyarakat tentang konsep Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya  yang dipetik Bernama.

Zamri Yusuf

Zamri, yang juga ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkata masyarakat yang hadir pada himpunan itu juga boleh berinteraksi dengan pemimpin sebelum dan selepas sesi pidato berlangsung.

Sementara itu, Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar memberitahu Malaysiakini bahawa acara itu diadakan bagi membolehkan pemimpin kerajaan menjelaskan dasar-dasar Putrajaya kepada akar umbi dan untuk mendapatkan maklum balas rakyat.

Katanya, majlis itu dibiayai sepenuhnya oleh Pakatan Harapan Kedah.

Mahfuz Omar

Mengenai program cabutan bertuah semasa himpunan itu - yang menawarkan lima motosikal - Mahfuz berkata, hadiah berkenaan  disumbangkan oleh penyokong.

Perhimpunan itu akan diadakan sehari sebelum Alor Setar menjadi tuan rumah majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani peringkat kebangsaan yang pertama.

Ini akan disusuli dengan majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pada minggu-minggu akan datang.

Lihat Komen
ADS