Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis Evo 3 kaut RM16 juta lepas empat hari tayangan rasmi
Diterbitkan:  May 29, 2023 3:01 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Selepas empat hari tayangan rasmi dan pratonton di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura, Polis Evo 3 berjaya mengaut kutipan RM16 juta, sekali gus menjadikan filem arahan Syafiq Yusof itu sebagai filem kutipan paling tinggi pada minggu pembukaan selepas pandemik.

Pencapaian itu juga mengatasi kutipan filem Mat Kilau.

Mat Kilau berjaya memungut RM12.2 juta selepas empat hari tayangan.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, ini membuktikan filem tempatan masih mendapat sokongan daripada peminat dan menginginkan filem yang berkualiti.

“Alhamdulillah atas kejayaan luar biasa ini dan ia membuktikan penonton kita masih mempercayai filem tempatan serta mahukan filem berkualiti. Jutaan terima kasih kepada semua.

“Sokongan padu anda menjadi nadi untuk filem Malaysia terus bernafas dan melangkah setanding naskhah luar negara. Terima kasih kepada rakan penerbit Skop Productions, TGV Pictures, rakan-rakan media serta pihak pawagam yang banyak membantu melakar kejayaan Polis Evo 3.

“Memandangkan cuti sekolah telah tiba, kami mengharapkan lebih ramai penonton dapat datang menyaksikan filem aksi komedi ini bersama seisi keluarga kerana filem ini memang sesuai untuk hiburan sekeluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Polis Evo (2015) mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah box office RM23 juta.

Polis Evo 3, yang mendapat arahan Syafiq Yusof itu menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana.

Naskhah itu berkisahkan kisah Inspektor Khai (lakonan Shaheizy Sam) dan Inspektor Sani (Zizan) kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai itu sendiri. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Menurut Raja Jastina, hujung minggu lalu Astro Shaw memulakan sesi jelajah di Pantai Timur dan kehadiran di sana disambut dengan meriah oleh ribuan penonton serta peminat.

“Ada dalam kalangan penonton yang sanggup datang dari jauh seperti Kota Bharu semata-mata untuk menyaksikan filem ini di pawagam. Nantikan kunjungan kami bersama barisan pelakon Polis Evo 3 di Utara pada hujung minggu ini pula.

“Ikuti siri jelajah Polis Evo 3 seterusnya pada 2 Jun di Seremban; 3, 4, 5 Jun di Kedah, Penang, Perak; dan 8, 9, 10, 11 di Singapura, Johor, Melaka,” katanya.

Lihat Komen
ADS