Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Suliza Salam tak fikir bekas suami tergamak aniaya Sarimah

NOTA EDITOR: Berlaku sedikit ralat pada perenggan pertama berhubung nama Sarimah Ahmad. Ia sudah diperbetulkan. Namun terdapat kelewatan transition pada perubahan perkataan (klik melalui link FB).


Penyanyi popular era 80an, Suliza Salam menafikan bekas suaminya, Zainal Nazeri Zainuddin tergamak menganiaya seniwati seperti Sarimah Ahmad.

Suliza berkata, ini kerana Zainal yang juga seorang penerbit mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Sarimah, justeru tidak mungkin sanggup mencuri empat pita asal filem terbitan syarikat produksi pelakon veteran itu.

“Saya rasa bukan dia (bekas suami). Dia bukan jenis menganiaya orang.

“Saya pun tak boleh nak ulas lanjut kerana kejadian itu berlaku puluhan tahun sebelum saya hadir dalam kehidupan suami, jadi saya pun tak tahu kisah yang sebenar,” kata ibu kepada penyanyi sensasi, Ismail Izzani itu.

Namun, Suliza, 59, tidak menolak kemungkinan timbul salah faham hingga ada pihak sanggup menuduh Zainal memungkiri janjinya untuk memulangkan semula salinan asal filem tersebut kepada Sarimah.

Bahkan, penyanyi Renungkanlah itu menyerahkan isu terbabit kepada pihak berwajib selain berharap Sarimah menemui jalan penyelesaian terbaik yang akan berpihak kepadanya.

“Saya rasa pasti ada salah faham. Malah saya tidak rasa dia (suami) ada simpan pita-pita itu.

“Kalaupun ada salah faham, saya pasti ia akan diselesaikan secara baik. Negara kita pun ada undang-undang,” katanya.

Suliza berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Glam Lebaran Nona yang dibawakan oleh Minaz dan diserikan dengan Sabihah Gold di Glam Hall, Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya malam tadi.

Baru-baru ini, Sarimah, bintang filem era hitam putih itu berkata, dia mahu haknya ke atas empat filem terbitan Sarimah Production Filem dipulangkan sebelum dia menutup usia.

Pelakon Tuah Badan itu mendakwa Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak - "dicuri" kira-kira 36 tahun lalu dan sejak itu individu terbabit yang juga seorang penerbit terus menghilangkan diri.

Seniwati terbabit berkata, paling menghibakan, kejadian itu berlaku sewaktu majlis pengebumian suaminya, Yusof Majid.

Individu terbabit bersama seorang lagi rakan menghampirinya dan meminta agar satu dokumen ditandatangani.

Disebabkan masalah itu juga katanya, dia pernah jatuh muflis kerana mendapatkan pinjaman bank bagi menyiapkan karya berkenaan.

Ditanya berhubung pihak yang gemar menuduh-nuduh, Suliza menjawab dia sentiasa berlapang dada dengan setiap perkara yang berlaku.

Katanya, ia langsung tidak menimbulkan sebarang masalah selagi tuduhan itu belum dibuktikan sahih.

“Kalau orang petik (mengaitkan) nama bekas suami itu suka hati dialah. Itu biasa, kalau dah petik namanya, pasti petik nama isteri dan anak-anak pula.

“Pada saya, selagi ia bukan begitu (terjadi), ia tak jadi masalah (nak petik),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS