Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon Squid Game dipenjara 8 bulan atas salah laku seksual
Diterbitkan:  Mar 15, 2024 6:14 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Pelakon Korea Selatan, O Yeong-su yang membintangi drama bersiri hit Netflix, Squid Game hari ini didapati bersalah atas tuduhan salah laku seksual.

Mahkamah daerah Suwon cawangan Seongnam menjatuhkan O Yeong-su hukuman penjara lapan bulan dengan penggantungan hukuman selama dua tahun.

Dia juga diperintah untuk menyelesaikan 40 jam kelas mengenai keganasan seksual.

Pelakon berusia 79 tahun itu yang didakwa atas dua pertuduhan gangguan seksual terhadap seorang wanita pada 2017, telah menafikan tuduhan terbabit.

Menurut Reuters, semasa meninggalkan mahkamah, O Yeong-su memberitahu pemberita bahawa dia merancang untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Pelakon itu mempunyai tujuh hari untuk merayu atau sabitan terhadapnya akan kekal.

Womenlink, kumpulan hak wanita di Korea Selatan, mengalu-alukan keputusan itu dan menggesa O Yeong-su segera memohon maaf kepada mangsa.

“Defendan sama seperti pesalah keganasan seksual lain dalam dunia hiburan yang cuba menutup keganasan seksual mereka sebagai ‘bantuan’ dan ‘persahabatan’,” kata kumpulan itu di X.

Aktor itu memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Golden Globes melalui wataknya dalam Squid Game pada 2021. Dia menjadi pelakon Korea Selatan pertama dinobatkan dengan anugerah itu.

O Yeong-su memainkan watak lelaki tua Oh II-nam, salah seorang antagonis utama drama itu.

Kontroversi tuduhan gangguan seksual menyaksikan namanya digugurkan daripada membintangani filem baru di Korea Selatan.

Lihat Komen
ADS