Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jaafar Onn meninggal dunia
Diterbitkan:  Apr 3, 2024 12:14 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Pelakon, pelawak dan pengacara veteran, Jaafar Onn meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, kira-kira jam 11.30 pagi hari ini.

Berita itu dikongsikan, rakan artis yang rapat dengan arwah, Salwa Abd Rahman di media sosial sebentar tadi.

“Abang Jaafar Onn telah kembali ke rahmatullah baru sebentar tadi. Sekarang jenazah berada di Hospital Serdang,” tulisnya.

Terdahulu, anak angkat Jaafar, Mohd Hanif Hashim memaklumkan artis versatil itu ditahan di hospital berkenaan akibat mengalami pendarahan ketika membuang air besar.

“Assalamualaikum untuk pengetahuan semua, papa dah tak ada, dah kembali ke rahmatullah sebentar tadi,” katanya.

Pengambilan ubat tahan sakit yang berlebihan dipercayai menjadi punca Jaafar mengalami masalah itu.

Kesihatannya sebelum ini dilaporkan semakin merosot akibat masalah pada injap jantung dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda.

Sementara itu, Bernama melaporkan berita itu juga dikongsikan rakan baik Allahyarham yang juga selebriti Haiza Hanafi di Facebook hari ini.

“Innalillahiwainailaihirojiun... Selamat Jalan Papa Jaafar Onn. Ya Allah saya saksi kebaikan yang dia lakukan.

“Ilmu yang dia curahkan dan rezeki yang dia kongsikan. Tempatkanlah dia di syurga Mu Ya Rabb... Alfatihah…,” kongsinya.

Media sebelum ini melaporkan tahap kesihatan pengacara dan pelakon veteran itu berada dalam keadaan kurang baik.

Semalam Allahyarham dilaporkan kritikal selepas mengesan darah ketika membuang air besar selain bacaan hemoglobinnya yang rendah.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di media sosial mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Dia turut mendoakan roh Allahyarham diberikan keampunan dan urusan keluarganya dipermudahkan. 

"Kepada kita yang mengikuti dunia hiburan, pasti terkesan dengan berita ini tatkala Allahyarham sentiasa menghiburkan masyarakat dengan bakatnya yang unik dan tersendiri dalam bidang lakonan dan muzik," katanya.

Turut menyampaikan ucapan takziah adalah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Dia pula menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan yang amat dirasai rakyat jelata.

“Semoga Allah SWT memberikan rahmat dan maghfirah kepada Allahyarham Jaafar Onn serta ditempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Saya juga berdoa agar keluarga yang ditinggalkan diberi kekuatan, kesabaran, dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Al-Fatihah,” katanya.

Lihat Komen
ADS