Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Cat Farish, isteri hasilkan buku unik lepas lukisan terjual RM15,000

Bangkit dari episod hitam yang menjejaskan pendapatan penyanyi dan pelakon Cat Farish serta isteri, Shikin, kini menumpukan perhatian menghasilkan sebuah buku lirik yang diiringi dengan lukisan bagi menampung keperluan harian.

Cat Farish berkata, ia dirasakan laluan alternatif terbaik untuk mereka daripada menyertai karnival sebagai peniaga seperti yang sering dilakukan sebelum ini.

“Kami berhenti berniaga di tapak karnival. Kalau nak berniaga pun, jika ada tempahan cekodok pisang, baru kami buat berdasarkan permintaan pelanggan.

“Jadi saya fikir, lebih baik Shikin melukis dan kemudian gabungkan dengan lirik lagu-lagu saya untuk menjadi sebuah buku,” katanya.

Tambah Cat Farish atau nama sebenar Farish Ramli, berdasarkan pemerhatiannya juga, kelangsungan perniagaan seperti karnival bukan lagi menjadi pilihan ketika ini selepas melihat banyak peniaga terkesan dengan ekonomi negara.

Mengaku sedih melihat ramai peniaga terjejas, Cat berkata, ketika ini juga terlalu banyak acara karnival yang berlangsung serentak.

“Lihat saja pada bazar Ramadan baru-baru ini, sedih saya lihat hari kedua ada peniaga terpaksa tutup kedai,” katanya.

Dulu belum ada nama

Cat Farish berkata demikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka dan pelancaran Kardinal, Raya Discovery Pack, Lumina di Boathouse by The Lake, Ampang, baru-baru ini.

Untuk rekod, selepas mengalami beberapa insiden pelik, Cat Farish dan Shikin terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan perniagaan di karnival sejak tahun lalu.

Kata Cat Farish, insiden itu menyebabkan perniagaan diuruskan mereka mengalami kemerosotan yang ketara.

Jika dibandingkan dengan dulu, kata Cat Farish, lukisan isterinya kini sudah boleh dipasarkan dengan nilai yang tinggi.

“Lebih baik jual lukisan kerana lukisan dia bukan tak ada nilai. Jual lukisan juga mempunyai hasil yang lebih lumayan,” katanya.

Shikin pula berkata, dia lebih yakin untuk meneruskan aktiviti melukis selepas melihatkan kejayaan sebuah karyanya pernah dijualkan oleh bapanya pada harga lebih RM10,000.

Cat Farish

Menurutnya, walaupun tidak mempunyai pendidikan dalam jurusan seni di peringkat tertinggi, dia banyak mempelajari teknik berkarya daripada bapanya memang pelukis terkenal, Ismail Embong.

“Sejak kecil saya belajar pegang berus lukisan dengan bapa. Cara melukis dan campur warna sendiri pun belajar sendiri atau melihat contoh lukisan melalui Instagram.

“Dulu ayah kata saya tak ada nama, jadi susah nak jual mahal-mahal.

Dia pernah letak sebuah lukisan harganya hanya RM200. Masa itu marah juga kerana penat melukis.

“Tapi pada 2011, ayah letak satu lukisan berharga RM15,000 dan ia terjual. Mulai dari situ, saya tahu nilai lukisan saya boleh bertambah,” katanya.

Pada masa sama, menurut Shikin, dia dan keluarganya akan mengadakan sebuah pameran seni dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, tahun ini bapa dan kami adik beradik seperti Emma, Cacha, Yaya dan Beby akan sertai pameran tersebut.

“Tarikhnya akan kami kongsikan kemudian. Ini peluang saya untuk tambah koleksi seni saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS