Belia yang bakal memimpin Malaysia perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Baru-baru ini, para belia telah membahaskan Pelaksanaan Pendidikan Politik di Sekolah Menengah yang merupakan salah satu usul daripada siri Debathon Parlimen Belia tahun ini.

Memupuk generasi yang aktif dalam proses demokrasi

Dirasmikan oleh Yang Berhormat Chow Yu Hui, Ahli Parlimen Raub, setiap sesi Debathon Parlimen Belia menampilkan perbincangan dan perbahasan bersama ahli politik terkemuka.

YB Tuan Yuneswaran Ramarajan, Ahli Parlimen Segamat berkata integrasi pendidikan politik di sekolah menengah adalah penting untuk melengkapkan pelajar dengan pemahaman asas tentang politik, pentadbiran, dan penglibatan sivik.

“Politik hari ini sudah berubah. Dalam sidang parlimen hari ini, kita dapat lihat bagaimana ahli-ahli parlimen berhujah pelbagai dasar untuk memartabatkan negara. Untuk melahirkan pemimpin-pemimpin berasaskan prinsip, kita perlu mengimplementasi pendidikan politik di sekolah,” katanya.

“Dalam konteks Malaysia, statistik yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa lebih 50% daripada jumlah penduduk terdiri daripada orang yang berusia di bawah 30 tahun. Ini bermakna separuh hati negara kita adalah terdiri daripada golongan belia yang memainkan peranan penting untuk menjadi “agen perubahan” dan suara-suara aspirasi negara,” kata Molly Fong, Pengarah Eksekutif InNature Berhad (The Body Shop Malaysia). 

Menurut Pengarah Kampus, Taylor’s College, Josephine Tan, beliau berkata belia hari ini bukan sahaja pemimpin masa depan malah mereka juga merupakan golongan yang mempunyai kuasa mengubah negara, masyarakat dan dunia apabila mereka berazam dan bersatu.

Debathon Parlimen Belia 2023: 6 perwakilan belia membahas tentang Implementasi Pendidikan Politik di Sekolah Menengah

Dari blok kerajaan, Muhammad Mahdiyen Nafiz Mohd Azizi, 18, pelajar Kolej Islam Antarabangsa berkata, pendidikan politik wajar dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah menengah kerana ini akan memberi pendedahan awal berhubung sistem demokrasi dan politik yang merangkumi hak sebagai rakyat.

"Walaupun Undi18 telah diluluskan dan dilaksanakan ketika Pilihan Raya Umum lalu, ramai golongan belia tidak memahami peranan mereka dalam pilihan raya yang akhirnya memberi kemudaratan kepada negara," katanya yang dinobatkan sebagai pendebat terbaik program itu pada Sabtu.

Dari blok pembangkang Ummi Khalilah Azman, 22, mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula menggesa kerajaan memastikan pendidikan politik diperkasakan dengan menjalankan aktiviti atau program berkaitan politik terutama proses pilihan raya.

Namun ujarnya, kerajaan perlu mengkaji tahap kesesuaian subjek itu dengan lebih mendalam bagi mengelak sebarang kepincangan yang akan membebankan guru dan pelajar.

Anda boleh tonton semula siaran langsung Debathon Parlimen Belia 2023 Usul 1: Implementasi Pendidikan Politik di Sekolah Menengah di SINI.

Layari https://mk.my/YPDFG untuk maklumat lanjut. 

Debathon Parlimen Belia 2023 dianjurkan oleh Malaysiakini, dan KiniEvents. Rakan Kongsi Acara termasuk The Body Shop Malaysia sebagai Changemaker Partner, dan Taylor's College sebagai Youth Empowerment Partner, disokong oleh Parlimen Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan, Experiential Design Team (EDT) sebagai Rakan Metaverse, Malaysian Institute of Debate and Public Speaking (MIDP) sebagai rakan Latihan Kemahiran Insaniah, serta Rakan Bersama; Malaysian Timber Certification Council (MTCC), Institutes of Research and Development of Policy (IRDP), Malaysian Youth Association for Diplomacy and Policy (MYADP), UNDI Sabah, The Risers, The Malaysian Hub, Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), IIUM Student Union, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Angkatan Mahasiswa UM, Suara Siswa Universiti Malaya, Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Taylor's University Student Council.