Hidup asnaf berubah selepas terima zakat
Dari memulakan perusahaan kayu secara kecil-kecilan di sebuah bengkel di belakang rumah, Mohd Faizal Ayob kemudian diberi kepercayaan untuk mengembangkan perniagaannya melalui kerjasama dengan beberapa agensi serta pihak berkuasa tempatan.
Usahanya memperkukuh kemahiran, menambah baik ruang kerja serta mengembangkan perniagaan di bawah jenama Rekayu dipermudah melalui bantuan pembangunan keusahawanan Zakat Selangor.
Perkembangan ini membantu Mohd Faizal membina sumber pendapatan yang lebih stabil dan berterusan hingga akhirnya membolehkan beliau keluar daripada kategori asnaf Zakat Selangor.
Itu antara Kisah Impak yang menunjukkan bagaimana usaha dan peluang yang tepat mampu membantu seseorang keluar daripada kemiskinan. Namun, perjalanan ke arah kehidupan yang lebih stabil bukan sekadar bergantung pada bantuan kewangan, sebaliknya turut memerlukan bimbingan dan sokongan berterusan.
Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf Zakat Selangor, Zulfirdaus Abu Hassan berkata, agensi itu melaksanakan pemantauan terhadap perkembangan penerima bantuan bagi memastikan bantuan yang disalurkan dimanfaatkan sebaiknya.
Menurut beliau, pemantauan dan kemas kini profil asnaf dilakukan secara berterusan bagi menilai perkembangan penerima selepas bantuan atau intervensi diberikan, termasuk tahap kecukupan dan keupayaan mereka untuk bergerak ke arah kemandirian.
/file/attachments/888/IMG_30961_280954.jpg)
“Zakat Selangor mempunyai rekod pemantauan yang melihat perkembangan sosioekonomi keluarga asnaf dari semasa ke semasa, termasuk perubahan pendapatan, tahap kecukupan berdasarkan Had al-Kifayah, pengurangan kebergantungan kepada bantuan serta perubahan status asnaf.
“Melalui sistem profil asnaf secara digital, maklumat keluarga direkod dan dikemas kini secara berkala, termasuk perubahan pendapatan, status pekerjaan atau perniagaan, komposisi isi rumah serta kedudukan sosioekonomi keluarga.
“Maklumat ini membantu Zakat Selangor mengenal pasti perkembangan penerima, keperluan intervensi susulan serta sebarang perubahan status asnaf,” katanya.
Menurut Zulfirdaus, pemantauan turut dilakukan di lapangan melalui lawatan ke rumah, premis perniagaan atau lokasi aktiviti asnaf bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan dan perkembangan penerima.
Kata beliau, sekiranya hasil pemantauan mendapati penerima masih belum mencapai tahap kemandirian yang disasarkan, intervensi susulan akan diberikan berdasarkan profil, keperluan dan keadaan semasa keluarga.
“Pendekatan ini membolehkan Zakat Selangor bukan sahaja memastikan bantuan telah disalurkan kepada penerima yang layak, tetapi turut menilai perubahan yang berlaku selepas bantuan diberikan serta sejauh mana peningkatan tersebut dapat dikekalkan dalam jangka panjang,” katanya.
Hampir 3,000 keluarga tunjuk peningkatan sosioekonomi
Berdasarkan rekod 2025, seramai 2,871 keluarga asnaf menunjukkan peningkatan taraf sosioekonomi, melepasi Had Kifayah atau keluar daripada kategori asnaf dengan majoriti daripada mereka mencatatkan peningkatan pendapatan.
Pencapaian ini menjadi antara petunjuk yang digunakan untuk menilai keberhasilan pelbagai bentuk bantuan dan intervensi, termasuk program peningkatan kemahiran, penempatan pekerjaan serta pembangunan keusahawanan.
Menjelaskan lebih lanjut, kata Zulfirdaus, setiap bantuan mempunyai objektif berbeza mengikut keperluan dan potensi keluarga asnaf.
/file/attachments/888/IMG_3095_495519.jpg)
Menurutnya, bantuan asasi seperti bantuan kewangan bulanan, makanan bulanan, sewa rumah dan perubatan bertujuan memenuhi keperluan asas serta memastikan kelangsungan hidup keluarga.
“Bagi keluarga yang dikenal pasti mempunyai potensi untuk dibangunkan, bantuan pembangunan memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan ketua keluarga dan ahli keluarga supaya mereka mampu menjana pendapatan sendiri.
“Antaranya melalui pendidikan bagi generasi kedua, peningkatan kemahiran dan penempatan pekerjaan menerusi Inisiatif Kerjaya Asnaf (iKerjaya), serta program pembangunan keusahawanan bagi membantu mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.
Bagaimanapun, Zulfirdaus berkata, tempoh untuk melihat perubahan hasil daripada bantuan berbeza mengikut keadaan dan keperluan setiap keluarga.
“Intervensi seperti latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan boleh menunjukkan perubahan awal dalam tempoh lebih singkat manakala bantuan pendidikan dan pembangunan keusahawanan lazimnya memerlukan masa lebih panjang serta bimbingan berterusan,” katanya.
Latihan kemahiran buka peluang pekerjaan kepada asnaf
Zulfirdaus berkata, melalui iKerjaya, asnaf berpeluang meningkatkan kemahiran, termasuk melalui latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebelum dibantu mendapatkan penempatan pekerjaan.
Katanya, program ini merangkumi pendekatan Latih dan Kerja, iaitu latihan sebelum penempatan pekerjaan, serta Kerja dan Latih yang menggabungkan penempatan kerja dengan latihan mengikut keperluan.
“Pendekatan ini bertujuan meningkatkan keupayaan asnaf menjana pendapatan dan memperkukuh kedudukan ekonomi isi rumah supaya mereka yang berkemampuan dapat mengurangkan kebergantungan kepada bantuan zakat serta bergerak ke arah kehidupan yang lebih stabil dan berdikari,” katanya.
/file/attachments/888/PUTERASYAFIQ1-SEWAKTUBERTUGAS_695777.jpeg)
Untuk rekod, selain penempatan pekerjaan, bantuan keusahawanan turut merangkumi program yang menyediakan latihan, bimbingan dan pemantauan, selain bantuan modal atau peralatan bagi membantu asnaf mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan isi rumah.
Bagi generasi kedua keluarga asnaf pula, pendidikan menjadi antara tumpuan pembangunan jangka panjang untuk membuka peluang pekerjaan yang lebih baik dan membantu memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi.
Zulfirdaus berkata, keberkesanan sesuatu intervensi bergantung pada keperluan, potensi dan tahap kesiapsiagaan setiap keluarga, oleh itu, bantuan perlu disesuaikan dengan keadaan penerima serta disokong pemantauan dan intervensi susulan.
Daripada penerima bantuan kepada pekerja berpendapatan sendiri
Selain Mohd Faizal, kisah Putera Syafiq Danial Shamsul Khairi juga menunjukkan bagaimana bantuan zakat dapat membantu penerima membina kehidupan yang lebih berdikari.
Putera Syafiq merupakan anak kepada keluarga asnaf yang menerima pelbagai bantuan, termasuk pendidikan, kewangan bulanan dan makanan secara bulanan kira-kira 15 tahun lalu.
Selepas menamatkan pengajian, beliau menyertai iKerjaya dan kemudian berjaya memasuki alam pekerjaan. Beliau kini berkhidmat sebagai penyelia makanan dan minuman (F&B Supervisor) di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Menurut Zulfirdaus, pekerjaan itu membolehkan Putera Syafiq memperoleh pendapatan sendiri dan seterusnya keluar daripada status asnaf.
Katanya, kisah Putera Syafiq dan Mohd Faizal menunjukkan usaha membantu asnaf keluar daripada kemiskinan tidak terhenti selepas bantuan diberikan.
“Bantuan asasi berperanan memastikan keperluan harian keluarga dipenuhi manakala bantuan pembangunan membuka peluang untuk meningkatkan kemahiran, memperoleh pekerjaan atau mengembangkan perniagaan.
“Melalui gabungan bantuan, bimbingan dan pemantauan, Zakat Selangor berusaha membantu keluarga asnaf membina sumber pendapatan yang lebih stabil, mengurangkan kebergantungan kepada bantuan dan bergerak ke arah kehidupan yang lebih berdikari,” katanya.
Siri Kerana Zakat ini adalah hasil kerjasama dengan Zakat Selangor
/file/attachments/888/REKAYU_670994.jpeg)
