Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) telah melancarkan kempen 'Kerana Zakat' dengan slogan 'Kita Peduli' bagi menggerakkan kepedulian masyarakat untuk bersama-sama menyantuni golongan asnaf di Selangor, termasuk lebih 82,000 keluarga fakir, miskin dan mualaf.

Kempen itu menyeru umat Islam, khususnya di Selangor, supaya menyegerakan kewajipan berzakat sebelum berakhirnya tahun 2026 bagi memastikan keperluan golongan asnaf terus mendapat perhatian dan sokongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari berkata, keluarga asnaf yang terdiri daripada golongan fakir, miskin dan mualaf memerlukan pelbagai bentuk bantuan termasuk keperluan asasi, pendidikan, perubatan, kebajikan serta pembangunan ekonomi.

“Kepedulian ini adalah tanggungjawab bersama. Pembayar zakat menunaikan kewajipan mereka, manakala Zakat Selangor mengurus amanah tersebut supaya manfaatnya sampai kepada golongan yang berhak.

“Melalui zakat, kita dapat bersama-sama membantu asnaf meneruskan kehidupan dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sepetang Bersama Media dan Pelancaran Kempen Hujung Tahun Zakat Selangor 2026, pada 20 Oktober yang lalu.

Bagi tempoh Januari hingga September 2026, Zakat Selangor telah mengagihkan lebih RM750 juta dana zakat menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk program pembangunan asnaf.

Mohd Khaidzir berkata, sepanjang kempen yang berlangsung dari Oktober hingga Disember itu, pelbagai aktiviti dan program disusun bagi menzahirkan kepedulian terhadap golongan asnaf, selain memperkukuh kefahaman dan keyakinan masyarakat melalui perkongsian manfaat zakat.

Antara pengisiannya termasuk ziarah asnaf, agihan bantuan persekolahan sesi 2027, latihan dan bantuan keusahawanan serta inisiatif kerjaya asnaf, di samping aktiviti dakwah dan komuniti.

Selain itu, beberapa siri program bersama pembayar zakat turut dirancang bagi memberi peluang kepada golongan berkenaan mendekati dan memahami kehidupan asnaf, sekali gus memperkukuh hubungan antara pembayar zakat dengan penerima manfaatnya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti dan program sepanjang kempen 'Kerana Zakat' menerusi laman web https://jom.zakat4u.com.my/ atau saluran media sosial rasmi Zakat Selangor.

Dalam perkembangan sama, Zakat Selangor turut mengadakan simbolik pertukaran dokumen kerjasama strategik dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menerusi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) bagi menyediakan kediaman kepada golongan asnaf di Selangor.

Kerjasama itu menggabungkan subsidi kerajaan dan pembiayaan zakat, dengan Zakat Selangor membiayai baki kos pembinaan rumah selepas ditolak subsidi kerajaan bagi asnaf yang layak.

Mohd Khaidzir berkata, spesifikasi rumah turut ditambah baik supaya selari dengan standard rumah bantuan Zakat Selangor dan berada dalam keadaan siap didiami.

Beliau berharap pendekatan itu dapat meningkatkan kecekapan penggunaan dana zakat, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai keluarga asnaf menikmati kediaman yang lebih baik.

Majlis berkenaan turut meraikan rakan-rakan media sebagai penghargaan atas kerjasama berterusan dalam menyampaikan maklumat mengenai zakat serta pelbagai inisiatif bantuan dan pembangunan asnaf kepada masyarakat.

Mohd Khaidzir berharap kerjasama baik yang terjalin dengan rakan-rakan media dapat diteruskan bagi membantu meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai zakat serta peranan Zakat Selangor dalam menyantuni golongan asnaf.

Turut hadir Ketua Pegawai Korporat dan Projek Khas Zakat Selangor, Ariffa Ariffin.


Siri Kerana Zakat ini adalah hasil kerjasama dengan Zakat Selangor