Pengalaman saya sebagai anak kelahiran Tawau selama lima hari berada di bandar yang terkenal dengan bandar pertanian itu amat menyedihkan.

Pengalaman ini sepatutnya tidak lagi dialami oleh penduduk sebuah bandar yang memberikan sumbangan ekonomi utama negara ini dalam industri pertanian.

Perkhidmatan bekalan elektrik di bandar Tawau, selama tempoh saya berada di sana, terputus setiap hari sekurang-kurangnya dua jam dan ada ketikanya lima jam sehari.

Kepincangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyediakan bekalan asas ini telah mula dirasai sejak 15 tahun kebelakangan. Ia bermula dengan bekalan elektrik yang terputus selama lima minit seterusnya meningkat kepada dua jam sehari.

Bekalan terputus ini berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pulang ke Tawau setahun sekali. Bayangkan keadaan penduduk yang harus berdepan dengan masalah ini setiap hari.

Bekalan elektrik yang tidak stabil ini menyebabkan kerosakan barang-barang elektrik seperti peti sejuk, TV, kipas, pendingin hawa, dan lampu. Adakah pihak SESB sanggup membayar ganti rugi kepada penduduk Tawau atas masalah kerosakan ini?

Saya fikir jawapannya tentulah "tidak" – berdasarkan pengalaman saya yang cuba menghubungi nombor telefon yang tertera di bil elektrik. Malangnya tiada jawapan.

Aduan masalah ini sepatutnya telah lama diambi tindakan oleh pihak SESB dan bukannya cuba lari daripada permasalahan ini.

Walaupun ada cadangan membina loji elektrik baru bagi menampung keperluan elektrik seluruh daerah Tawau, tetapi masalah sedia ada perlu juga ditangani segera.

Baru-baru ini perdana menteri kita telah mengadakan lawatan rasmi ke Tawau dan sekali gus bersama-sama penduduk ke majlis berbuka puasa. Bekalan elektrik pada hari tersebut sempurna, tiada kepincangan dan tidak terputus.

Mengapa pihak SESB boleh dan mampu membekalkan elektrik dengan baik sewaktu perdana menteri berada Tawau? Kenapa tidak pada hari-hari biasa?

Adakah pihak SESB cuba melindungi kecacatan atau kepincangan mereka hanya di depan mata orang-orang kenamaan atau VIP?

Lebih menyedihkan lagi, Tawau dikuasai BN dan bukannya parti pembangkang. Di mana Yang Berhormat yang telah menang pada pilihan raya umum lalu pergi untuk membela nasib rakyat Tawau?

Adakah Yang Berhormat ini hanya menabur janji-janji manis untuk mendapatkan undi? Akhir kata, fikir-fikirkanlah slogan baru "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".