Krisis MCA gugat peluang BN atasi Pakatan
Keretakan dalam MCA pada masa ini sememangnya membahayakan masa depan BN.
Apalah malangnya, masa ini yang sepatutnya masa terbaik baginya untuk menolak Pakatan Rakyat ketepi dan menguatkan posisinya kerana dilanda pelbagai masalah dalaman.
PAS sekarang terpaksa bertungkus-lumus menangani isu menantu Nik Aziz Nik Mat yang dikatakan terlibat dalam tuduhan negatif di Kelantan.
Ketua PAS Selangor, Dr Hasan Ali pula sekarang nampaknya berusaha sedaya upaya untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu melalui pertikaiannya terhadap dasar-dasar DAP.
Di sebelah PKR pula, orang ramai mula berbicara mengapa Anwar Ibrahim nampaknya mengundur diri daripada menjadi muka depan PKR. Beliau dikritik kerana kerap berada di luar negara dan tidak memberi perhatian kepada masalah dalam negara.
Tambahan, beliau menghantar Tian Chua sebagai gantinya untuk ke Sarawak bagi menangani masalah besar PKR di negeri itu. Tian pula dalam bahaya kehilangan kerusi parlimennya apabila didapati bersalah menggigit anggota polis.
BN pada masa ini sepatutnya mengambil kesempatan untuk mencuri langkah daripada Pakatan Rakyat tetapi malangnya masalah MCA menghalang ia berlaku.
Apabila rakyat membaca akhbar, mereka dapat lihat bahawa kedua-dua BN dan juga Pakatan Rakyat mempunyai masalah besar dan pertelingkahan dalaman.
Sudah sekian lama masalah dalaman MCA timbul tetapi masih lagi tiada penyelesaian. Pelan damai besar Ong Tee Keat hanyalah pelan kosong selagi ia tidak disokong oleh Pemuda MCA dan Wanita MCA.
Pelan ini dilihat oleh rakyat sebagai satu perjanjian buruk antara Chua Soi Lek dan Ong yang mengetepikan pandangan majoriti ahli MCA yang jelas telah menolak pimpinan Ong pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) lepas.
Apa yang memburukkan keadaan, Ong sekarang kelihatan lebih sibuk dengan masalah dalaman MCA daripada menumpukan kepada tanggungjawabnya sebagai menteri pengangkutan.
Mengapakah Ong tidak mahu mengadakan undian baru bagi memilih pemimpin baru MCA? Inilah jalan yang paling mudah serta demokratik bagi menyelesaikan kesemua masalah parti tersebut.
Letakkanlah masa depan parti di dalam tangan ahli-ahli; inilah cara yang paling bagus. Selagi MCA bergaduh, BN tidak boleh melawan Pakatan Rakyat secara berkesan.

