Komuniti terbelah akibat kehadiran surau
Salam Dan Selamat Sejahtera Tuan Pengarang,
Dengan segala hormatnya kami ingin merujuk kepada artikel Malaysiakini di ruangan “Letters” yang bertajuk Community split over presence of surau bertarikh 22 Februari 2010.
Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak tuan atas keperhatian Malaysiakini mengeluarkan komen sensitif daripada pembaca di ruangan kolum (comments) surat ini. Kami difahamkan tuan tidak dapat menarik balik surat itu daripada dipaparkan di halaman sesawang Malaysiakini atas dasar syarikat dan pihak kami memahami atas keperluan tersebut.
Namun sebagai media alternatif yang bertanggungjawab, kami berharap agar pihak tuan akan terus memantau dan mengeluarkan sebarang isu-isu kepentingan awam yang melibatkan hak rakyat seperti isu penduduk Taman Kajang Prima yang masih dinafikan hak untuk mempunyai surau di taman mereka sendiri.
Di kesempatan ini, kami juga ingin menegaskan bahawa kami tidak terlibat dalam penulisan surat yang dipaparkan dalam halaman tuan dan berterima kasih kepada penulis atas inisiatif beliau dalam menyedarkan rakyat Malaysia tentang isu yang melanda taman kami.
Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru Malaysiakini sebagai media alternatif yang bertanggungjawab memperjuangkan hak rakyat untuk mendapatkan maklumbalas daripada pemimpin tertinggi kerajaan negeri Selangor, Y.A.B Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan pusat, Y.A.B Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam isu tersebut tanpa perlu mengkompromi kepercayaan dan budaya pihak-pihak yang terlibat selaras mewujudkan bangsa Malaysia yang aman dan harmoni.
Kami juga merasakan bahawa campur tangan ini adalah amat perlu memandangkan isu ini telah berlanjutan sekian lama dan pihak bawahan (jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat) masih gagal mencari penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang berhubung perkara tersebut.
Kami juga sentiasa bersedia berjumpa semua pihak dalam mencari jalan penyelesaian terbaik demi kebaikan semua pihak terlibat.
Segala yang baik datangnya daripada Allah S.W.T, segala kelemahan datangnya daripada kami.

