Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelbagai laporan berkaitan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia hangat dibincangkan mutakhir ini. Ada blog yang mendakwa statistik menunjukkan bilangannya mencapai ribuan kes. Penulis sendiri pernah melihat kes kanak-kanak sekolah berumur sekitar 14 tahun berkahwin dengan lelaki tua berumur hampir 70 tahun. Beberapa bulan kemudian mereka bercerai.

Ini lumrah yang sering berlaku. Isu ini adalah isu lapuk yang melingkari masyarakat Islam di seluruh dunia. Ia hanya hangat semula apabila media melaporkankannya, seterusnya sering mendatangkan rasa serba salah di kalangan umat Islam.

Perbincangan hukum fekah berkaitan perkara ini dimaklumi oleh para pengkaji hukum syarak dan proses perundangan berkaitannya dimaklumi oleh para pengamal undang-undang. Persoalan utama yang jarang dibincangkan, apakah perkara ini wajar dibiarkan tanpa ditadbir dengan bijaksana, sedangkan zaman telah berubah?

Kita mampu mentadbir soal nikah-cerai, talak di luar mahkamah, poligami, perkahwinan dengan ahli kitab dan sebagainya. Mengapakah soal perkahwinan kanak-kanak ini tidak dimasukkan sebagai perkara yang boleh disekat pihak berkuasa (mahkamah)?

Ruangan hukum syarak cukup luas untuk mengurus kehidupan manusia. Tetapi mengapa kita sempitkankannya, sedangkan wujud keluasan dalam agama kita?

Saya berkongsi keprihatinan dengan Menteri Pembangunan Keluarga Wanita dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang amat serius mahu membincangkan perkara ini.

Sebagai seorang yang pernah mengkaji penggubalan undang-undang keluarga Islam Malaysia daripada pelbagai sudut - menurut pandangan mazhab dan undang-undang - saya memahami bahawa undang-undang keluarga Islam di Malaysia wajar dikaji semula secara mendalam dan menyeluruh.

Begitu juga dengan dengan aspek perundangan Islam yang lain di Malaysia.  Amat sedih jika akibat daripada kesan perundangan ini, imej Islam yang luhur akan tercalar. Sedangkan perundangan diwujudkan bagi memperkasakan imej agama yang suci ini.

Pengalaman melaksanakan beberapa aspek perundangan Islam di Malaysia telah mendewasakan cara fikir umat Islam di Malaysia. Sudah sampai masanya pelbagai peringkat yang benar-benar mengambil berat isu ini dilibatkan bersama dalam perbincangan tersebut bagi menjaga maslahat (kepentingan) dan masa depan umat Islam.

Dr Juanda Jaya merupakan mufti kerajaan Perlis dan felo tamu di Pusat Kajian Islam, Universiti Oxford.

ADS