Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya menyambut baik keputusan kabinet pada 6 April yang lalu untuk menubuhkan satu jawatankuasa antara agama bagi mendepani masalah dan persoalan yang berkaitan dengan hubungan antara agama di negara ini.

Pada hemat saya, sudah tiba masanya, kerajaan mengambil langkah yang progresif dalam menangani konflik serta perbedaan pendapat yang berkaitan dengan agama.

Keputusan ini seharusnya diambil dan dilaksanakan sedari awal memandangkan rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai ras dan agama.

Baru-baru ini pada 31 Mac 2010, saya telah duduk berbincang bersama-sama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Jabatan Perpaduan Nasional dan pemimpin beberapa pertubuhan agama dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah atau krisis dalam masyarakat yang disebabkan oleh ketiadaan toleransi dan kefahaman tentang agama masing-masing.

Antara syor-syor yang diusulkan sewaktu mesyuarat tersebut adalah agar satu platform yang memberi ruang dan peluang kepada semua wakil agama terutamanya di peringkat rakyat dapat diwujudkan agar sebarang pertelingkahan dan salah faham dapat diatasi secara demokratik, aman dan penuh berhemah.

Sungguhpun wujud kekecewaan pada awalnya apabila wakil Jakim dan PDRM tidak menghadiri mesyuarat tersebut, saya melihat adanya harapan ke depan dengan kewujudan jawatankuasa baru ini, yang memaksa penglibatan kedua-dua badan yang penting dalam memastikan usahasama murni terutamanya dengan agensi penguatkuasaan negara berjaya.

Sehubungan itu, saya menyeru agar jawatankuasa yang akan ditubuhkan dapat menjadi wadah untuk rakyat menyalurkan pandangan dan persoalan agar tidak menggunakan kekerasan atau taktik keganasan untuk meleraikan kekusutan atau pertelingkahan berkaitan dengan agama sepertimana yang berlaku di kawasan saya, rentetan dari keputusan penggunaan kalimah Allah oleh Herald Tribune.

Semoga penubuhan jawatankuasa ini dapat membantu kita semua mencari kaedah dan jalan penyelesaian terbaik untuk memastikan keamanan dan kefahaman antara kaum di Malaysia dapat dikekalkan dan tidak dijadikan alat politik semata-mata.


Penulis adalah ahli parlimen Lembah Pantai

ADS